MTMD: Projek MYCARE buka peluang klien AADK dalam bidang perniagaan, pertanian

Oleh: Norasiken Ahmad

SEREMBAN, 1 November 2021- Program pencegahan dadah dan pemulihan klien menerusi kesinambungan pelaksanaan projek Client Capital Recovery Empowerment (MYCARE) antara fokus utama dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Sembilan Bilangan 2 Tahun 2021 di sini pada 25 Oktober lalu .

Mesyuarat dipengerusikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun mengklasifikasikan Projek MYCARE merupakan satu mekanisme sokongan sosial yang membantu pencarian modal dan kemahiran kepada klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam bidang perniagaan dan pertanian.

Ia merupakan inisiatif baharu kolaboratif pelbagai jabatan, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengikut bidang kepakaran masing-masing.

Sehubungan itu, klien yang menyertai projek tersebut dipilih berdasarkan beberapa kriteria ditetapkan antaranya tidak mempunyai sumber pendapatan dan diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19.

Ini termasuklah, klien yang berminat mengusahakan perniagaan dan pertanian, tetapi tidak mempunyai modal permulaan.

Justeru, pada peringkat permulaan seramai 10 klien dalam komuniti diberikan bantuan dari segi modal, pemasaran, latihan dan bimbingan serta pengisian sesi psikososial.

Dalam perkembangan berkaitan mesyuarat berkenaan turut mengambil inisiatif melancarkan Kempen Antidadah bertemakan Sukan Tanpa Dadah sempena Karnival Bola Sepak Piala YAB Menteri Besar Negeri Sembilan.

Menurut Aminuddin, secara simboliknya seorang belia yang bersukan dapat mengurangkan kemunculan seorang penagih dadah baharu.

Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa agenda MTMD negeri dan gerak kerja ke arah merealisasikan wawasan Dadah Terkawal 2025 mampu dicapai dengan sokongan dan penglibatan aktif daripada semua pihak.

Turut menyertai MTMD Negeri Sembilan Bilangan 2 Tahun 2021 ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Dato’ Dr Muhamad Sade Mohamad Amin.

Accessibility Toolbar