MTMD Perlis: Kertas pertimbangan AADK, UUM lulus

Oleh: Mohd Nadmin Ramlan

KANGAR, 26 Mei 2022 – Kertas pertimbangan Inisiatif Bersepadu 2022-2025 Feldaku Permai Lagi Mempesona (FPLM) daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah diluluskan pada Khamis.

Perkara itu dicapai menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Perlis Bilangan 1 Tahun 2022 yang berlangsung di Kompleks Dewan Undangan Negeri Kangar, Perlis.

Pada mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri Besar Perlis, YAB Datoโ€™ Seri Azlan Man pihak AADK turut memaklumkan mengenai status pelaksanaan Program Kampungku Permai Lagi Mempesona 2021-2023 dan Penghijauan Kawasan Berisiko Tinggi Negeri Perlis 2021-2025.

Selain AADK, mesyuarat tersebut juga meluluskan kertas pertimbangan Keberkesanan Psikoterapi al-Quran dan Psikospiritual Diari Hisbah Refleksi Al-Nafs Sebagai Alternatif Rawatan dan Pemulihan Dadah Kepada Klien AADK Perlis oleh pihak Universiti Utara Malaysia (UUM).

Hadir sama menyertai MTMD Negeri Perlis ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Pengarah AADK Negeri Perlis, Khairul Anwar Ahmad dan Pengarah Bahagian Dasar Perancangan & Penyelidikan AADK, Othman Mohamed Nazari serta ketua-ketua jabatan berkaitan.

Ini termasuklah penglibatan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Dalam pada itu, mesyuarat berkenaan turut membincangkan isu dan senario semasa masalah penagihan dadah negeri tersebut yang dibentangkan oleh PDRM dan AADK dalam Laporan Senario Dadah Semasa di Negeri Perlis.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis pula membentangkan mengenai isu dan permasalahan disiplin dalam kalangan pelajar manakala Perkhidmatan Klinik OSCA (One Stop Centre for Addiction) telah dibentangkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Accessibility Toolbar