MTMD Negeri Sembilan sasar penghijauan dua KBT bagi tahun 2022

Oleh Mohd Rashdan Zakaria

SEREMBAN, 15 Mac 2022 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyasarkan penghijauan di dua Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) iaitu di Mukim Rompin, Jempol dan Mukim Ampangan, Seremban bagi tahun 2022.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, sasaran itu dibuat selepas Mukim Gemencheh berjaya mencapai status hijau berdasarkan kepada kriteria penghijauan KBT penyalahguna dadah bagi tahun 2021.

YAB Dato’ Seri Aminuddin berkata, beliau amat yakin dengan kuasa ‘Political will’ dan sokongan pemimpin masyarakat berusaha membenteras penyalahgunaan dadah dapat dilaksanakan dengan baik.  

YAB Dato’ Seri Aminuddin menzahirkan sokongan padu daripada Ahli-ahli Parlimen dan ADUN di semua daerah di Negeri Sembilan membantu menghasilkan program antidadah berimpak tinggi. – Gambar AADK / Mohd Rashdan Zakaria

Katanya, sokongan padu daripada Yang Berhormat Ahli-ahli Parlimen dan Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di semua daerah di Negeri Sembilan dapat menghasilkan program antidadah berimpak tinggi.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Sembilan Bilangan 1 2022, di sini pada Selasa.

Turut menyertai mesyuarat itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB. Dato’ Dr Razali Ab. Malik, Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon dan Pengarah AADK Negeri Sembilan, Dr. Hadijah Baba.

Mengulas lanjut, YAB Dato’ Seri Aminuddin berkata, Pelan Tindakan Penghijauan KBT 2022 perlu digerakkan secara bersama agar isu penyalahgunaan dadah di kedua-dua kawasan tersebut dapat dikawal.

Pelan Tindakan Penghijauan KBT 2022 perlu digerakkan secara bersama agar isu penyalahgunaan dadah di Mukim Rompin, Jempol dan Mukim Ampangan, Seremban dapat dikawal.

“Saya berharap Pegawai Daerah Jempol, Pegawai Daerah Seremban dan semua agensi yang berkaitan dapat bersama-sama menggerakkan Pelan Tindakan Penghijauan KBT 2022 ini.

“Saya telah dimaklumkan usaha penghijauan di Mukim Ampangan telah giat dilaksanakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia Dan Sukan merangkap Pengerusi MTMD Peringkat Daerah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Dato’ Mohamad Taufek Abd. Ghani.

“Saya mengalu-alukan kolaborasi dari semua jabatan atau agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin masyarakat dalam setiap program pencegahan dadah yang dilaksanakan di Negeri Sembilan dalam usaha kita merealisasikan Dadah Terkawal 2025,” ujarnya.

Manfaat sistem MyCARE
Sementara itu, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Antidadah Kebangsaan bersempena dengan sambutan Hari Peringatan Antidadah Kebangsaan yang disambut pada 19 Februari, dengan tema “Lebih Baik Cegah” yang memfokuskan kepada Keluarga Malaysia dan isu penyalahgunaan dadah sintetik.

Jelas beliau, pelbagai aktiviti dan program interaktif melibatkan semua peringkat kumpulan sasar dalam komuniti telah disusun bagi merancakkan lagi acara sambutan Hari Antidadah pada tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, pada MTMD Negeri Sembilan Bilangan 1 2022, YAB Dato’ Seri Aminuddin turut menyerahkan Sistem Client Capital Recovery Empowerment (MyCARE) kepada Tuan Sutekno bagi menggantikan sistem manual.

Pelaksanaan program tersebut bukan sahaja membantu klien dari segi rawatan kepulihan, malah memberi fokus pada pembangunan kerjaya, pengetahuan, kemahiran, keluarga, kesihatan dan keselesaan tempat tinggal.

“Diharapkan menerusi sistem MyCare pihak AADK Negeri Sembilan dapat memberi impak pada pengurangan kadar penagihan semula (relapse) dan peningkatan kesejahteraan individu, keluarga dan komuniti.

“Tidak ketinggalan mengembalikan klien sebagai individu berfungsi dalam masyarakat yang kekal pulih dan bertanggungjawab,” jelasnya.

Accessibility Toolbar