MTMD Negeri Sembilan: Pertandingan Kampung Terkawal Dadah Daerah Kuala Pilah 2022/2023, Program TEKAD lulus

Oleh: Fauzi Suhaimi

KUALA PILAH, 26 Julai 2022 – Kerajaan Negeri Sembilan meluluskan dua kertas pertimbangan menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Sembilan Bilangan 2 Tahun 2022 baru-baru ini.

Dua kertas berkenaan melibatkan Pelaksanaan Pertandingan Kampung Terkawal Dadah Daerah Kuala Pilah 2022/2023 dan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) di sektor awam dan swasta yang dibentangkan Pegawai Daerah Kuala Pilah dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Cadangan melaksanakan pertandingan tersebut adalah untuk memastikan matlamat Dadah Terkawal di daerah Kuala Pilah tercapai sekali gus dijadikan sebagai platform ideal bagi membantu kes berulang serta mencegah penyalahguna dadah dalam komuniti di daerah berkenaan.

Sementara itu, pelaksanaan Program Tekad bertujuan memberi kemahiran mengurus masalah penyalahguna dadah kepada majikan dan menyediakan program pemulihan yang berkesan.

Ini termasuklah mewujudkan persekitaran tempat kerja yang sihat, selamat dan kondusif untuk meningkatkan produktiviti kerja.

Terdahulu Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun mempengerusikan mesyuarat berkenaan yang turut disertai Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon.

Hadir sama Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Muzalmah Mustapha Kamal; Pegawai Kewangan Negeri Sembilan; Dato’ Mohd Khidir Majid; Ketua Unit Urus Setia Penyelarasan Pelaksanaan Dasar Membanteras Gejala Dadah Negara, Mohd Nadmin Ramlan dan Pengarah AADK Negeri Sembilan, Dr. Hadijah Baba.

MTMD Negeri Sembilan Bilangan 2 Tahun 2022 berlangsung di Wisma Majlis Bandaraya Seremban, Negeri Sembilan.

Accessibility Toolbar