Misi bantuan banjir Skuad Antidadah AADK diperluas di seluruh negara

Oleh: Fauzi Suhaimi

KUANTAN, 6 Januari 2022 – Misi bantuan pasca banjir digerakkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menerusi sukarelawan Skuad Antidadah AADK kini diperluas di seluruh negara khususnya di negeri-negeri terjejas teruk akibat bencana alam tersebut.

Inisiatif itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) AADK dalam usaha membantu dan meringankan beban dihadapi mangsa banjir susulan hujan lebat berterusan dalam tempoh 24 jam sejak 17 Disember 2021.

Pada peringkat awal misi kemanusiaan bantuan pasca banjir oleh Skuad Antidadah AADK dilaksanakan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor terutamanya di kawasan Klang, Shah Alam dan Hulu Langat.

aadk banjir
Misi bantuan pasca banjir Skuad Antidadah AADK kini diperluas di seluruh negara khususnya di negeri terjejas teruk antaranya di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor. – Gambar AADK / AMIR ZAHIEN AMRAN

Pun begitu, berikutan bencana banjir melanda di beberapa buah negeri dan atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan, Skuad Antidadah AADK segera diperluas dan digerakkan bagi kerja sukarelawan pasca banjir.

Bagi Skuad Antidadah Seberang Prai Tengah Pulau Pinang, meskipun tidak dilanda banjir namun, khidmat masyarakat tetap diteruskan yang mana Skuad Antidadah daerah berkenaan digerakkan ke negeri terjejas banjir seperti Bentong, Pahang dan Taman Sri Muda, Shah Alam di Selangor.

Sementara itu, Skuad Antidadah AADK Kedah juga mengambil inisiatif turun padang melaksanakan misi bantuan pasca banjir di Temerloh, Pahang yang turut disertai Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datoโ€™ Sri Dr Ismail Mohamed Said.

aadk banjir
Dr Ismail (kanan) turun padang melaksanakan misi bantuan pasca banjir membersihkan sekolah agama di Temerloh, Pahang yang dilanda banjir kilat baru-baru ini. – Gambar AADK / AMIR ZAHIEN AMRAN

“Pada hari ini saya bersama Skuad Antidadah melakukan operasi pembersihan di dua buah sekolah agama di Temerloh, Pahang yang dilanda banjir gelombang kedua.

“Selain itu, bantuan barangan keperluan turut diagihkan kepada kira-kira 300 keluarga termasuk sumbangan wang tunai kepada anak yatim, mualaf dan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui kru Berita AADK di Temerloh, Pahang hari ini.

Turut menyertai misi bantuan pasca banjir itu ialah Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon dan Pengarah AADK Pahang, Zirwatul Ahlam Zam Zam.

aadk banjir
Tuan Sutekno (tengah) bergotong-royong bersama Skuad Antidadah AADK membersihkan lumpur dan tanah dari sisaย banjir di Temerloh, Pahang.ย 

Terdahulu, pada Rabu Dr Ismail turun padang menjayakan Program Gotong-Royong Pasca Banjir bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan sukarelawan di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor.

Aktiviti terarah kepada pembersihan lumpur di kediaman penduduk termasuk sekitar taman perumahan melibatkan padang futsal dan taman permainan.

Direkodkan, setakat 6 Januari lalu, sebanyak 475 sukarelawan Skuad Antidadah AADK digerakkan di seluruh negara bagi melancarkan misi bantuan pasca banjir melibatkan beberapa kawasan di Lembah Klang, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kelantan.

aadk banjir
aadk banjir

Accessibility Toolbar