MDN, TMDN adakan lawatan kerja ke AADK

Oleh: Fauzi Suhaimi

Kajang, 5 Januari 2023 – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Timbalannya, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah telah mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Lawatan kerja ini pertama kali diadakan selepas beliau dilantik menganggotai Kabinet sejak 2 Disember 2022 di sini hari ini.

Taklimat lawatan kerja telah disampaikan oleh Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon.

Isu yang dibincangkan tertumpu kepada tiga teras utama agensi itu iaitu Rawatan, Perubatan dan Pemulihan, Pencegahan serta Penguatkuasaan dan Keselamatan.

Saifuddin Nasution berkata, kementerian meletakkan sasaran 75 peratus bagi program pemulihan penagih kepada AADK tahun ini.

Beliau berkata, penetapan sasaran baharu itu susulan kejayaan agensi berkenaan tahun lepas yang mencapai sehingga 70 peratus bagi program pemulihan penagih.

“Tahun lepas, seramai 70 peratus penagih dadah yang menjalani program pemulihan di AADK didapati telah berjaya membuang tabiat berkenaan secara kekal dan tidak kembali menagih dadah dan bagi tahun ini saya meletakkan sasaran kepada 75 peratus bagi setiap 100 individu yang menjalani proses pemulihan dadah.

“Program pemulihan AADK merupakan satu kejayaan berdasarkan peratusan penagih dadah yang berjaya dipulihkan berbanding standard antarabangsa pada 35 hingga 50 peratus,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Ibu Pejabat AADK, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, AADK yang mempunyai data lengkap mengenai program berkenaan perlu melakukan analisis bagi membangunkan satu model jangkaan untuk meningkatkan lagi peratusan kejayaan program pemulihannya.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Puan Chang Hong Jin dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Dato Dr Muhamad Sade Mohamad Amin.

Accessibility Toolbar