Hari Terbuka AADK 2022 disambut meriah

Oleh: Unit Media Komunikasi Korporat

DENGKIL, 27 Mei 2022 – Dalam usaha membawa perubahan persepsi negatif masyarakat terhadap bekas penagih dadah, Kementerian Dalam Negeri menerusi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menganjurkan Hari Terbuka AADK 2022 di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Dengkil, Selangor pada Jumaat.

Aktiviti Hari Terbuka itu adalah acara tahunan yang diadakan bagi mempromosikan perkhidmatan yang disediakan oleh AADK selain membuka peluang kepada masyarakat untuk mengenali perkhidmatan yang disediakan AADK sekali gus mendapatkan maklumat yang lebih tepat berkaitan dengan Program Rawatan dan Pemulihan Penagihan Dadah dan Program Kepulihan Sepanjang Hayat bagi klien AADK.

Aktiviti yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, mewakili Ketua Setiausaha KDN, Datoโ€™ Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz merupakan satu inisiatif KDN untuk meningkatkan usaha kolaboratif dengan jabatan-jabatan kerajaan, badan-badan bukan kerajaan dan masyarakat dalam menggerakkan aktiviti pencegahan, rawatan dan pemulihan penagihan dadah dalam komuniti.

Inisiatif tersebut adalah medium terbaik buat masyarakat mengenali AADK secara dekat, sekali gus menepis stigma kumpulan klien yang sedang menjalani program rawatan dan pemulihan disediakan oleh AADK dibuli, diseksa dan tidak mendapat layanan sewajarnya.

Selain itu, orang ramai juga dapat melihat sendiri perkhidmatan dan kemudahan disediakan AADK untuk para klien yang berada di 30 buah PUSPEN di seluruh negara.

Diharapkan menerusi pengalaman dan maklumat disalurkan pada Hari Terbuka AADK 2022, masyarakat dan ahli keluarga klien dapat meningkatkan usaha membantu mereka yang terjebak dengan permasalahan dadah boleh menjalani pemulihan dan mengekalkan kepulihan sepanjang hayat.

Pengalaman yang diperoleh sempena Hari Terbuka AADK 2022 dapat mengurangkan atau menghilangkan langsung stigma serta pandangan serong masyarakat terhadap penagih-penagih dadah yang sedang atau telah menjalani program rawatan dan pemulihan yang disediakan oleh AADK.

Hadir menjayakan program tersebut ialah Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Puan Chan Hong Jin; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Datoโ€™ Dr Muhamad Sade Mohamad Amin dan keluarga klien AADK.

Accessibility Toolbar