Lawatan kerja Ketua Pengarah ke AADK Daerah Pulau Langkawi

Oleh: Fauzi Suhaimi

LANGKAWI, 10 Jun 2022 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Langkawi menerima kunjungan daripada Ketua Pengarah, Tuan Sutekno Ahmad Belon dalam siri lawatan kerja Ketua Pengarah AADK ke Pulau Langkawi Kedah pada Jumaat.

Dalam sesi Lawatan Kerja Ketua Pengarah itu, beliau diberikan taklimat gerak kerja yang disampaikan oleh Ketua Pegawai AADK Daerah Langkawi, Mohammad Nurddin Ramli yang memfokuskan kepada tiga bidang utama agensi iaitu Rawatan, Perubatan dan Pemulihan, Pencegahan serta Penguatkuasaan dan Keselamatan.

Ketua Pengarah turut menggesa kakitangan AADK Daerah Langkawi supaya memberi penekanan terhadap pendekatan yang digunakan AADK melalui tiga model iaitu i-Pulih AADK, i-Prihatin AADK dan i-Cegah AADK.

Lawatan Kerja KP itu juga bagi melihat pengoperasian, meninjau fasiliti pejabat AADK daerah berkenaan selain beramah-mesra dengan warga agensi di sini.

Sebagai rujukan, AADK Daerah Pulau Langkawi meliputi 478km persegi dengan populasi penduduk seramai 111,500 orang daripada enam mukim membabitkan 87 buah kampung.

Dalam masa sama, Tuan Sutekno turut menyampaikan amanat, nasihat, dan teguran kepada kakitangan agar dapat melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan integriti.

Di samping itu, dalam siri lawatan kerja Ketua Pengarah tersebut, Tuan Sutekno Ahmad Belon juga mengambil peluang untuk bertemu dengan semua Ketua AADK Daerah di seluruh Kedah.

Sesi pertemuan itu bertujuan memastikan setiap tindakan yang diambil di peringkat daerah selari dengan arahan dan keputusan dasar di peringkat ibu pejabat. la juga menjadikan penyampaian maklumat boleh dibuat secara langsung daripada Ketua Pengarah kepada pegawai-pegawai AADK di peringkat daerah.

Pertemuan itu dihadiri 10 Pegawai AADK Daerah termasuk daerah Kota Setar dan Pokok Sena; daerah Yan; daerah Pulau Langkawi; daerah Padang Terap dan daerah Kuala Muda diadakan di Bilik Mesyuarat, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Langkawi, Kedah.

Tuan Sutekno menyampaikan taklimat secara khusus melibatkan bidang teras utama agensi dengan menekankan aspek rawatan dan pemulihan menerusi Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK), RPD Institusi (RPDI) serta perkhidmatan baharu iaitu perkhidmatan Rawatan dan Pemulihan Bergerak (MRT AADK).

Pada masa sama, Ketua Pengarah turut mengingatkan agar setiap Ketua AADK Daerah perlu memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing demi penyampaian perkhidmatan berkesan kepada Keluarga Malaysia.

Turut menyertai Lawatan Kerja KP ialah Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK. Siti Mariam Mursidan; Ketua Penolong Pengarah (Pemulihan Dalam Komuniti) AADK, Dr. Nazira Sadiron dan Pengarah AADK Kedah, Abdul Hamediee Ibrahim.

Accessibility Toolbar