Lawatan kerja Ketua Pengarah AADK ke AADK Sarawak

Oleh Rashdan Zakaria

KUCHING, 13 Julai 2022 – Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Tuan Sutekno Ahmad Belon mengadakan lawatan kerja ke AADK Negeri Sarawak di sini baru-baru ini.

Lawatan kerja itu bertujuan untuk bersua muka dengan Ketua AADK daerah seluruh Sarawak dan kakitangan berkenaan bagi memastikan pelaksanaan tugas mengikut garis panduan yang ditetapkan agensi.

Dalam sesi itu, Ketua Pengarah diberikan taklimat oleh Pengarah AADK Negeri Sarawak, Iskandar Turkee berkaitan pengoperasian dan gerak kerja yang memfokuskan kepada petunjuk prestasi utama (KPI) iaitu meningkatkan kadar kepulihan dan mengurangkan kadar penagihan.

Tindakan awal mengelakkan daripada terjerumus dengan permasalahan dadah dilaksanakan melalui pelbagai program antaranya program pendidikan pencegahan dan kesedaran awam yang dilaksanakan secara berstruktur berpandukan kepada Model i-Cegah AADK.

Bagi mereka yang berdepan dengan masalah ketagihan dadah dan substan, AADK menyediakan dua program rawatan dan pemulihan secara percuma menerusi Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) dan Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) yang dilaksanakan berteraskan kepada Model i-Pulih AADK.

aadk sarawak
Tuan Sutekno ketika menyampaikan amanat dan nasihat kepada kakitangan agar melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan integriti. – Gambar AADK

Sementara itu, bagi memastikan golongan rentan dan orang awam dilindungi, AADK juga melipatgandakan usaha mengesan dan menjejaki mereka yang menghadapi masalah ketagihan dadah di setiap pelusuk tanah air. Tindakan penguatkuasaan undang-undang dan tawaran rawatan pemulihan secara sukarela dijalankan menerusi Model i-Prihatin AADK.

Tuan Sutekno turut menyampaikan amanat, nasihat, dan teguran kepada kakitangan agar dapat melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan integriti.

Turut hadir dalam sesi lawatan tersebut ialah Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan; Ketua Penolong Pengarah (Pemulihan Dalam Komuniti), Dr Nazira Sadiron dan Pegawai Hal Ehwal Agama AADK, Ustaz Afifuddin Abdulmuiz Hamid.

Turun padang ke PUSPEN Kuching

Sementara itu, Tuan Sutekno mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kuching, Sarawak

Lawatan kerja itu bertujuan menyantuni keluarga AADK di PUSPEN Kuching selain memastikan persekitaran, aktiviti termasuk pelaksanaan tugas berada di landasan yang sewajarnya.

Dalam sesi itu, Ketua Pengarah diberikan taklimat oleh Pengarah PUSPEN Kuching, Yuliani Yahya berkaitan pengoperasian dan gerak kerja dalam memastikan usaha merawat pulih klien boleh diterjemahkan sepanjang hayat.

Tuan Sutekno turut menyampaikan amanat, nasihat, dan teguran kepada kakitangan agar dapat melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan integriti.

Pada masa sama, Tuan Sutekno sempat beramah mesra dan melawat fasiliti PUSPEN Kuching yang diketegorikan sebagai multifungsi.

Turut hadir dalam sesi lawatan tersebut ialah Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan.

Accessibility Toolbar