Oleh: Rashdan Zakaria
ALOR SETAR, 17 Julai 2023 – Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, pelaksanaan Bengkel Pemantapan Kompetensi Ketua Unit Pemulihan AADK Daerah dan Negeri dilihat mampu menjadikan pegawai agensi ini lebih kompeten dan berdaya maju.
Ini kerana, beliau berkata, usaha itu berupaya melahirkan pegawai bukan sahaja berkemahiran, malah mampu menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Tuan Sutekno bersama peserta Bengkel Pemantapan Kompetensi Ketua Unit Pemulihan AADK Daerah dan Negeri. – Gambar AADK / Rashdan Zakaria
Menurutnya, dua elemen penting diperoleh melalui pelaksanaan bengkel sedemikian iaitu sesi perkongsian bagi menjadikan semua pegawai lebih mahir dan mewujudkan semangat kerjasama yang pelbagai untuk bekerja dalam satu kerangka peranan dan kefungsian AADK.
“Melalui elemen ini, saya yakin semua peserta dapat melakukan aktiviti-aktiviti berkumpulan dan berkongsi kepakaran berdasarkan pengalaman masing-masing.
“Selain itu, langkah ini juga dilihat mampu mewujudkan nilai kerjasama semua warga AADK dan bukan adanya perbezaan kluster pegawai di ibu pejabat, pejabat negeri, daerah atau Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN),” katanya ketika sesi dialog sempena Bengkel Pemantapan Kompetensi Ketua Unit Pemulihan AADK Daerah dan Negeri Zon Utara di Alor Setar, Kedah pada Isnin.
Turut hadir Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan; Ketua Penolong Pengarah (Pemulihan Dalam Komuniti) AADK, Dr. Nazira Sadiron; Pengarah AADK Negeri Kedah, Abdul Hamediee Ibrahim; Pengarah AADK Negeri Perlis, Khairul Anuar Ahmad dan Pengarah AADK Negeri Pulau Pinang, Elmariah Chung.
Dalam pada itu, Tuan Sutekno berkata, pelaksanaan bengkel seperti itu juga dapat membuka ruang dan peluang kepada semua pegawai untuk meningkatkan keupayaan diri dalam semua bidang teras.
“Apabila mereka mempunyai keyakinan yang tinggi, saya percaya mereka boleh menterjemahkan ilmu yang diperoleh melalui bengkel ini ke dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab di pusat tanggungjawab masing-masing,” ujarnya.