KP AADK terima kunjungan hormat NCB BRUNEI, MCPF, Pusaka Hanafi Malaysia

Oleh: Muhammad Nabil Abdul Aziz

KAJANG, 13 Jun 2022 – Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Tuan Sutekno Ahmad Belon menerima kunjungan hormat daripada Biro Kawalan Narkotik (NCB) Brunei di sini, pada Khamis lalu.

Delegasi NCB Brunei yang diketuai Pengarahnya, Yang Mulia Dato’ Paduka Mohd Zalani Ismail turut mengadakan perbincangan bagi meningkatkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Lawatan kerja tersebut merupakan kesinambungan daripada Mesyuarat Bilateral antara AADK dan NCB Brunei pada 13 Disember 2021 secara telesidang.

Pada masa sama, ia juga bertujuan mewujudkan hubungan yang rapat bagi membolehkan pertukaran fahaman, pendapat serta pandangan dalam hal berkaitan permasalahan dadah di negara masing-masing.

Terdahulu, NCB Brunei turut mengadakan lawatan melihat gerak kerja operasi dan fasiliti yang disediakan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Dengkil, Selangor.

Hadir menyertai lawatan kerja tersebut ialah empat pegawai kanan NCB Brunei terdiri daripada Ketua Pegawai Narkotik II, Ketua Unit Risikan Operasi NCB Brunei; Ketua Pegawai Narkotik Il, Timbalan Ketua Operasi NCB Brunei; Penolong Pegawai Narkotik Il NCB Brunei dan Penolong Pegawai Narkotik I NCB Brunei.

Sementara itu, Ketua Pengarah AADK turut menerima kunjungan hormat daripada Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi (Pusaka Hanafi Malaysia) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Ibu Pejabat AADK.

Pertemuan yang berlangsung di Ibu Pejabat AADK, Kajang selama lebih satu jam itu bertujuan memperkukuhkan kerjasama antara semua pihak dalam usaha menangani masalah dadah melalui program-program yang dianjurkan bersama.

Dalam pada itu, pihak Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi turut menzahirkan cadangan mengenai Program Sedar:Jihad Dadah 2022 kepada AADK.

Selain membincangkan program kolaboratif antara Kementerian Dalam Negeri (KDN), AADK dan MCPF di kawasan YB Menteri Dalam Negeri, usaha memperkukuh kerjasama strategik juga dibuat bermatlamatkan ke arah misi Dadah Terkawal 2025.

Hasil kunjungan hormat itu, beberapa cadangan program dibincangkan antara program anak angkat melibatkan pelajar dan Skuad Antidadah, sesi ramah mesra, walkabout atau rondaan malam bersama YB MDN, pameran perkhidmatan serta pelbagai aktiviti bersama komuniti.

Hadir menyertai sesi kunjungan hormat berkenaan ialah Naib Pengerusi, Dato’ Sri Johny Ch’ng Ewe Gee; Pengurus Korporat, Norazlan Idris dan Penolong Pengurus Korporat, Bala Karupiah serta Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainudin Abdullah.

Accessibility Toolbar