KP AADK garis dua strategi bendung penagihan dadah

Oleh: Rashdan Zakaria

BALING, 18 Julai 2023 – Dua strategi utama digariskan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam membendung isu penagihan dadah dan substan di sesuatu daerah.

Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, dua strategi itu adalah dengan menumpukan kepada kadar penagihan dadah dan substan.

Selain itu, katanya, melalui kadar itu, tindakan sewajarnya perlu diambil segera berdasarkan formula yang ditetapkan bagi mengatasi isu berkenaan.

Pegawai dan Kakitangan AADK daerah Sik memberi perhatian kepada amanat yang disampaikan oleh Ketua Pengarah AADK. Gambar AADK / Rashdan Zakaria

“Formula pertama selepas kita mempunyai anggaran penagih dadah ialah dengan mengesan dan mengambil mereka untuk menjalani program rawatan dan pemulihan dalam institusi (RPDI) atau komuniti (RPDK).

“Selepas itu, usaha pencegahan secara bersasar perlu digerakkan dengan mengambil kira faktor-faktor tertentu supaya bagi memastikan tiada penagih baharu berlaku yang menyumbang kepada angka orang yang disyaki (OYDS) menagih dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bertemu semua pegawai AADK di Pejabat AADK Daerah Sik dan Baling dalam siri Lawatan Kerja KP AADK ke Negeri Kedah sejak Isnin lalu.

Lawatan kerja berkenaan juga bertujuan melihat operasi petugas barisan hadapan AADK selain menyantuni dan beramah mesra antara Ketua Pengarah dengan pegawai AADK di daerah.

Turut hadir Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan, Pengarah AADK Negeri Kedah, Abdul Hamediee Ibrahim dan Ketua Penolong Pengarah (Pemulihan Dalam Komuniti) AADK, Dr. Nazira Sadiron.