KP AADK adakan lawatan kerja di Perak

Oleh: Fauzi Suhaimi

IPOH, 4 Julai 2022 – Perak menjadi negeri kedua terakhir bagi siri Lawatan Kerja Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Tuan Sutekno Ahmad Belon yang diadakan hari ini di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ipoh di sini.

Lawatan kerja itu bertujuan bersua muka bersama pegawai dan kakitangan di negeri selain memastikan persekitaran, aktiviti termasuk pelaksanaan tugas berada dalam keadaan baik.

Dalam sesi itu, Ketua Pengarah telah diberikan taklimat oleh Pengarah AADK Perak, Mohd Azizi Salleh berkaitan pengoperasian dan gerak kerja dalam memastikan kepulihan penagihan dadah sepanjang hayat dapat sekali gus mengurangkan kadar penyalahguna dan penagihan dadah.

kp perak
Warga kerja AADK Negeri Perak sentiasa komited melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan integriti seperti mana disarankan Tuan Sutekno. – Gambar AADK / MUHAMMAD AMIR ZAHIEN AMRAN

Tuan Sutekno turut menyampaikan amanat, nasihat, dan teguran kepada kakitangan agar dapat melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan integriti.

Selain itu, Ketua Pengarah menegaskan supaya tiga model utama AADK iaitu Model i-Pulih AADK, Model i-Prihatin AADK, Model i-Cegah AADK perlu dilaksanakan secara holistik dalam memastikan sasaran Dadah Terkawal 2025 dapat dicapai.

Pada masa sama, Tuan Sutekno sempat beramah mesra dan melawat fasiliti AADK Negeri Perak.

Turut hadir dalam sesi lawatan tersebut ialah Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan; Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainudin Abdullah; Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Azmi Mustafa dan Ketua Penolong Pengarah (Pemulihan Dalam Komuniti), Dr. Nazira Sadiron.

Accessibility Toolbar