Komuniti FELDA proaktif cegah penyalah guna dadah, jenayah

Oleh: Amir Zahien Amran

SELAMA, 12 Ogos 2022 – Kegiatan penyalahgunaan dadah dan jenayah di Malaysia kian membimbangkan terutamanya golongan anak muda yang merupakan tonggak utama negara.

Pun begitu, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama rakan pintar, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mengambil inisiatif mendekati komuniti FELDA dengan menganjurkan Forum ‘Komuniti Bebas Jenayah Dan Dadah. Tanggungjawab Siapa?’ yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Sultan Idris II, FELDA Ijok Selama, Perak.

Forum itu bertujuan memberi kesedaran serta langkah-langkah pencegahan awal kepada komuniti supaya peka dan semai rasa tanggungjawab serta tindakan proaktif dalam mengekang aktiviti penyalahguna dadah dan jenayah.

FELDA IJOK SELAMA DATO DR MUHAMAD SADE
Dato’ Dr. Muhamad Sade (kiri) turut hadir pada Forum ‘Komuniti Bebas Jenayah Dan Dadah. Tanggungjawab Siapa?’ yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Sultan Idris II, FELDA Ijok Selama, Perak baru-baru ini. – Gambar AADK / Rashdan Zakaria

Dalam pada itu, ahli panel juga menekankan beberapa aspek pencegahan antaranya kawalan dalam diri serta kawalan daripada keluarga yang memainkan peranan yang sangat penting untuk mengelakkan punca awal terjebak dalam kegiatan penyalahguna dadah.

Turut sama menjayakan forum tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah (Pencegahan) AADK, Tuan Mahadzir Elias; Timbalan Ketua Polis Daerah Selama, DSP Shamsur Amri Abu Bakar yang berperanan sebagai ahli penal manakala moderator pula ialah wakil Skuad Antidadah AADK, Jackson Vincent Tambang.

Selain itu, sesi penyerahan anak angkat juga diadakan dalam program Komuniti Bebas Jenayah dan Dadah yang merupakan usaha AADK memastikan kawasan tersebut bebas daripada kegiatan penyalahgunaan dadah.

Turut hadir Naib Pengerusi Kanan MCPF, Dato’ Sri Ayub Yaakub; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Dato’ Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin; Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainudin Abdullah.

Accessibility Toolbar