Oleh: Izyan Liyana Mohd Darif
KUALA LUMPUR, 18 Oktober 2021 – “Setiap individu mempunyai ceritera kehidupan pahit tersendiri. Biarlah ia berlalu kerana yang penting kini kita berusaha menjadi insan lebih positif.”
Demikian kata-kata semangat ditiupkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin terhadap kumpulan klien ketika sesi turun padang di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Sungai Besi di sini pada Isnin lalu.
Pada kesempatan itu, beliau turut menyarankan para klien supaya tidak berterusan mengenang sejarah hitam, sebaliknya berazam menjalani rawatan dan kepulihan dengan hati terbuka dan bersungguh-sungguh.
“Pihak AADK sentiasa komited membantu anda (klien) keluar daripada kepompong ini bagi melahirkan generasi Malaysia yang sihat, sekali gus menyumbang pada negara.
“Justeru, diharapkan berbekalkan latihan, program dan ilmu dipelajari di PUSPEN anda akan berasa yakin untuk menjalani kehidupan lebih bahagia di samping keluarga dan masyarakat kelak,” titip beliau terhadap klien yang sedang melakukan aktiviti Morning Meeting.
Dalam perkembangan berkaitan pada sesi turun padang selama dua jam itu Muhamad Sade juga meluangkan masa merasmikan Tapak Projek Amanah: Fertigasi Cili yang mengusahakan tanaman cili padi bara di PUSPEN terbabit.
Pada masa sama, meninjau kawasan sekitar, operasi dan fasiliti termasuk menyampaikan amanat kepada keluarga AADK.
Turut menyertai sesi turun padang itu ialah Pengarah PUSPEN Sungai Besi, Nurshuhaila A. Rahman.
Muhamad Sade menitipkan pesanan buat klien di PUSPEN Sungai Besi, Kuala Lumpur supaya tidak beterusan mengenangkan sejarah hitam, sebaliknya menjalani rawatan dan kepulihan dengan bersungguh-sungguh. Gambar AADK/ MUHAMMAD RASHDAN MOHD ZAKARIA. Muhamad Sade (kanan) ketika dibawa meninjau salah satu asrama klien oleh Nurshuhaila (kiri) pada sesi turun padang di PUSPEN Sungai Besi baru-baru ini. Gambar AADK/ MUHAMMAD RASHDAN MOHD ZAKARIA. Ketua Cawangan Latihan Kemahiran dan Vokasional PUSPEN Sungai Besi, Wan Donnie Khalid Fadillah Wan Abdullah (kanan) memberi keterangan mengenai tanaman cili padi bara yang diusahakan di sana. Gambar AADK/ MUHAMMAD RASHDAN MOHD ZAKARIA.