Kerjasama komuniti mampu cegah dadah, jenayah

Oleh: Cik Ct Ashlida Che Mat Razali

SELAMA, 13 Ogos 2022 – Masyarakat perlu mengelak daripada bersikap ‘tidak peduli’, sebaliknya bersama memainkan peranan dalam memahami, mengambil tindakan dan menjadi barisan hadapan dalam menangani isu dadah dalam komuniti masing-masing.

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menganjurkan Program Komuniti Bebas Jenayah dan Dadah bersama Menteri Dalam Negeri yang dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin di FELDA Ijok, Selama, Perak.

Dato’ Seri Hamzah selama
Dato’ Seri Hamzah (dua dari kiri) turut menjayakan aktiviti Sukan Rakyat bersama komuniti setempat pada Program Komuniti Bebas Jenayah dan Dadah bersama Menteri Dalam Negeri di Selama, Perak. – Gambar AADK / AMIR ZAHIEN AMRAN DAN RASHDAN ZAKARIA

Program yang diadakan selama dua hari telah disulami dengan beberapa program seperti Forum, Outreach dan Gotong Royong bersama Anak Angkat, Ceramah Perdana dan Sukan Rakyat.

Menurut Dato’ Seri Hamzah, semua ahli komuniti perlu peka dan prihatin untuk memastikan ahli keluarga dan jiran tetangga tidak terjebak dalam permasalahan dadah dan sosial.

“Pihak AADK sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan rawatan dan pemulihan dadah kepada individu atau mana-mana pihak yang tampil untuk mendapatkan rawatan secara sukarela,” katanya dalam ucapan perasmian program tersebut.

Pada masa sama, beliau turut menyertai aktiviti sukan rakyat bersama masyarakat yang dianjurkan sepanjang program tersebut.

Ini termasuklah perkhidmatan yang disediakan seperti Perkhidmatan Bergerak Rawatan dan Pemulihan (MRT AADK), Bas Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Bas Pameran AADK dan Kaunter Pendaftaran Sahabat KDN.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon; Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Polis Diraja Malaysia, Komisioner Polis Dato’ Aidi Ismail dan Naib Pengerusi Kanan MCPF, Dato’ Sri Ayub Yaakub.

Accessibility Toolbar