JPU lulus cadangan pindaan, kemaskini arahan nombor 1, 2004

Oleh: Rashdan Zakaria

KAJANG, 15 Mei 2023 – Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang (JPU) Bilangan 1 Tahun 2023 pada 15 Mei 2023  telah meluluskan cadangan pindaan dan pengemaskinian Arahan Nombor 1, Tahun 2004 iaitu Jentera Penyelarasan Pelaksanaan Dasar Membanteras Gejala Dadah Negara.

Mesyuarat dipengerusikan oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri berlangsung di Ibu Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada Isnin.

Selain itu, Mesyuarat JPU turut membincangkan dan mengambil maklum mengenai status dan perkembangan terkini tindakan-tindakan yang perlu diambil oleh Kementerian, Jabatan dan Agensi yang berkaitan berdasarkan mesyuarat JPU terdahulu antaranya Laporan Status Terkini Rang Undang-Undang (RUU) Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Pencegahan, Rawatan dan Pemulihan) oleh AADK; Laporan Kemajuan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Berhubung Tanaman Kratom/Ketum oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Laporan Kemajuan Jawatankuasa Teknikal Kajian Saintifik dan Komersial Berhubung Tanaman Kratom/Ketum oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).

YB Menteri Dalam Negeri (kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat JPU Bil. 1/ 2023 di Ibu Pejabat AADK, pada isnin. – Gambar AADK/Rashdan Zakaria

YB Menteri Dalam Negeri turut menekankan agar semua Kementerian, Jabatan dan Agensi dapat bekerjasama dan berkolaborasi bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah.

Beliau juga berharap, ahli-ahli Mesyuarat JPU yang terdiri daripada pelbagai Kementerian, Jabatan dan Agensi dapat sama-sama berbincang bagi merangka dan menggubal strategi-strategi pelaksanaan untuk mengatasi isu dan masalah yang dikenal-pasti berkaitan penguatkuasaan undang-undang dadah di Malaysia.

Mesyuarat JPU Bil. 1/ 2023 turut disertai oleh beberapa kementerian, jabatan dan agensi yang lain. – Gambar AADK/ Rashdan Zakaria

Mesyuarat turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Tuan Ramkarpal Singh Karpal Singh dan ketua-ketua jabatan berkaitan.

Turut hadir Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Puan Chan Hong Jin dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Dato’ Dr Muhamad Sade Mohamad Amin.

Accessibility Toolbar