Jangan simpan isu penagihan di rumah – KP AADK

Oleh : Fauzi Suhaimi

PASIR MAS, 10 September 2022 – Masyarakat dinasihatkan agar tidak ‘menyimpan’ sebarang isu penagihan dadah yang ada di rumah, sebaliknya menyalurkan terus kepada pihak berkuasa khususnya Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, tindakan sedemikian tidak akan menyelesaikan isu penagihan, malah berupaya memberi kesan yang lebih teruk untuk tempoh yang lama.

“Kadang-kala ada sesetengah di antara kita mengambil pendekatan berdiam diri dan tidak melaporkan kes-kes penagihan dadah kepada pihak berkuasa seperti AADK ataupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara terus. “Tindakan ini menjadikan kami sukar untuk mengambil tindakan secara bersasar. Justeru, masyarakat perlu mengambil tindakan sama untuk melaporkan kes-kes penagihan dadah yang ada dirumah atau di komuniti kepada AADK, PDRM atau pemimpin masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan program Cakna Rakyat DUN Chetok 2022 di sini pada Sabtu.

Hadir sama dalam program itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok, YB Zuraidin Abdullah; Pengawai Daerah Chetok, Mohd Zuari bin Hamzah; Pengarah Bahagian Rawatan Perubatan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan, Azmi Mustafa dan Pengarah AADK Negeri Kelantan, Rahayu Ahmad. Dalam pada itu, Tuan Sutekno berkata, AADK bukan bertujuan untuk menangkap dan memasukkan mereka yang terjebak dengan dadah ke dalam penjara, sebaliknya untuk membantu merawat pulih.

Tuan Sutekno Ahmad Belon bersama YB Zuraidin Abdullah menyantuni klien yang menjalani rawatan dan pemulihan dalam komuniti (RPDK) melalui program Home Visit – Gambar AADK / Hakim Suhaimi

“AADK tidak seperti dulu, bahkan kaedah rawatan dan pemulihan yang disediakan AADK lebih kepada kaedah merawat mereka daripada ketagihan berdasarkan Model i-Pulih AADK merangkumi sembilan komponen antaranya agama dan spiritual; bimbingan dan kaunseling; psikopendidikan dan integrasi masyarakat. “Masalah sekarang orang malu untuk menghantar anak-anak ke dalam PUSPEN AADK, sedangkan ia adalah satu proses pemulihan untuk menjadikan mereka menjalankan fungsi-fungsi sebagai orang normal dalam masyarakat. “Oleh itu, saya nasihatkan agar kita semua jangan mengambil pendekatan untuk membenci mereka sebab, sebaliknya memberi sokongan ke arah kepulihan agar mereka tidak kembali menjadi penagih pada masa akan datang,” katanya. Tambahnya lagi, masyarkat perlu tahu bahawa mereka yang terjebak dengan penagihan dadah boleh dirawat pulih dengan kaedah-kaedah tertentu khususnya seperti disediakan AADK menerusi Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) atau Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK).

Accessibility Toolbar