Jadikan PUSPEN sebagai pusat pendidikan klien

Oleh: Ct Ashlida Che Mat Razali

JELI, 30 Oktober 2022 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berhasrat untuk menjadikan semua Pusat Pemulihan Penagihan Dadah (PUSPEN) sebagai pusat pendidikan bagi merawat pulih mereka yang terjebak dengan penagihan dadah.

Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, bagi mencapai hasrat itu, AADK dalam usaha membangunkan silibus bagi sembilan komponen yang didedahkan kepada klien melalui Model i-Pulih AADK.

Katanya, langkah itu bagi memastikan proses merawat pulih klien lebih sistematik dan berkesan.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja Ketua Pengarah AADK di PUSPEN Jeli pada Ahad.

Beliau turut melawat persekitaran PUSPEN Jeli termasuklah di asrama klien, bengkel kemahiran vokasional, bilik rawatan klien dan dewan aktiviti klien.

Sepanjang sesi lawatan kerja ini, taklimat pengoperasian dan gerak kerja PUSPEN Jeli telah disampaikan oleh Pengarah PUSPEN Jeli, Aman Mustapha.

Sementara itu, Tuan Sutekno turut berkesempatan melakukan lawatan kerja ke Pejabat AADK Daerah Jeli bagi melihat gerak kerja pegawai di peringkat daerah.

Ketika sesi dialog Ketua Pengarah bersama warga kerja AADK Daerah Jeli, taklimat operasi kerja disampaikan Ketua AADK Daerah Jeli, Mohd Aris Fadzillah Mohamad Hassan.

Turut hadir mendengar amanat Ketua Pengarah  ialah Pengarah AADK Negeri Kelantan, Rohayu Ahmad, Pengarah PUSPEN Bachok, Nor Haffiza Ibrahim dan Pengarah PUSPEN Kota Bharu, Siti Rugayah Ismail.

Accessibility Toolbar