Oleh : Azizah Hamzah (Unit Integriti)
KAJANG, 11 November 2016 : Pembudayaan etika dan integriti merupakan asas yang penting dalam semua aspek pentadbiran dan pengurusan sektor awam dan perlu diterapkan kepada semua peringkat pegawai dan kakitangan. Integriti perlu diperkukuhkan dan menjadi amalan secara berterusan. Bagi menerapkan budaya ini, Unit Integriti AADK telah menganjurkan Seminar Pemerkasaan Integriti AADK 2016 pada 20 Oktober 2016 (Khamis) bertempat di Dewan Akasia, AADK Ibu Pejabat. Bertemakan ‘Integriti Di Hati Ku’, seminar ini telah dihadiri oleh seramai 600 pegawai dan kakitangan AADK dari seluruh negara. Pelbagai informasi penting telah dapat disalurkan sepanjang seminar. Antaranya adalah penyampaian ceramah daripada dua orang penceramah tersohor di Malaysia iaitu YBhg Ustaz Dr Zaharuddin bin Hj Abd Rahman dari UIAM dengan tajuk Kombo Pelaburan dan Tabungan – Ke Arah Bebas Hutang, Memperkasa Integriti manakala penceramah seterusnya adalah daripada YBhg Profesor Madya Dr Hj Mohd Nor bin Mamat dari UiTM Shah Alam dengan tajuk Integriti via Fitrah. Seminar ini turut disertai oleh pameran dari pelbagai agensi iaitu Lembaga WAKAF Selangor, Lembaga Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, PTPTN, Lembaga Zakat Selangor dan Perbadanan Hartanah Negara. YBhg Datu Jabidah Bt Monseri, Timbalan Ketua Penggarah (Pengurusan) telah bersama-sama menyertai seminar ini dan memberikan ucapan aluan di majlis pembukaan seminar. Selain daripada itu seminar ini juga dapat memupuk jalinan perhubungan yang mesra antara semua pegawai dan kakitangan AADK yang menyertai seminar ini.