Idea, kepakaran warga AADK bersara dialu-alukan

Oleh: Izyan Liyana Mohd Darif

KAJANG, 1 November 2021 – Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin berharap Warga Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang bersara terus aktif menyumbang idea dan kepakaran dalam usaha mencapai sasaran Dadah Terkawal 2025.

Menurut beliau langkah tersebut secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan Nilai Ambang Penyalahgunaan dan Penagihan Dadah di negara ini pada paras 400 orang bagi setiap 100,000 penduduk dan Kadar Kepulihan sebanyak 75 peratus.

“Peranan AADK sebagai agensi utama membasmi penyalahgunaan, penagihan dadah dan substans melalui pendekatan pencegahan, rawatan pemulihan dan penguatkuasaan undang-undang akan terus menjadi keutamaan jabatan (AADK).

“Tanggungjawab dan peranan tersebut selari dengan Aspirasi Keluarga Malaysia berpandukan Dokumen Pelan Strategik AADK 2021-2025 dan Pelan Strategik Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya di Auditorium Ibu Pejabat AADK di sini pada Isnin lalu.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika menyempurnakan Majlis Persaraan AADK 2021 sebagai tanda penghargaan kepada 84 pegawai dan kakitangan AADK yang banyak menabur bakti sepanjang tempoh berkhidmat bersama agensi.

Dalam pada itu, Jonathan memberitahu, sesi libat urus bersama masyarakat sivil dan orang awam juga perlu diadakan secara berterusan.

Inisiatif berkenaan bertujuan membolehkan AADK memperoleh maklum balas yang tepat daripada masyarakat bagi menambah baik perkhidmatan dari semasa ke semasa.

Hadir menjayakan majlis bertemakan ‘Sulaman Kasih, Junjungan Budi tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato Abdul Halim Abdul Rahman dan Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon.

Ini termasuklah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Chan Hong Jin dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Dato’ Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin.

Terdahulu, pada sesi lawatan kerja berkenaan Jonathan turut diberi taklimat mengenai gerak kerja dan operasi AADK selain menyampaikan amanat kepada warga agensi.

Selain itu, beliau juga mengambil kesempatan melancarkan Laman Web Rasmi AADK yang baharu.

Accessibility Toolbar