Hari Antidadah Kebangsaan 2021

PERUTUSAN KETUA PENGARAH AADK
SEMPENA PERINGATAN HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN 2021
“LEBIH BAIK CEGAH”

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH DAN SALAM SEJAHTERA.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya kita bertuah dapat hidup dalam sebuah negara yang harmoni dan bersatu padu.

Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia telah memberikan kesan kepada kehidupan harian kita. Namun begitu, melalui usaha-usaha berterusan kerajaan untuk mengekang penularan wabak ini, negara kita mampu membendungnya daripada menjadi semakin parah.

Selain pandemik Covid-19, negara kita sentiasa diancam dengan pelbagai permasalahan sosial, antaranya penyalahgunaan dadah. Pelbagai inisiatif telah dilakukan sejak dadah diisytiharkan sebagai Musuh Nombor Satu Negara pada 19 Februari 1983.

Polisi dan komitmen negara terhadap usaha menangani permasalahan dadah telah dinyatakan secara jelas melalui peruntukan akta-akta berkaitan dadah dan Dasar Dadah Negara. Tanggungjawab dan peranan setiap pihak juga telah diperincikan dalam Dasar Dadah Negara.

Dengan adanya usaha kolaboratif ini yang digerakkan secara bersepadu, Insyaallah, penularan penyalahgunaan dadah dalam komuniti juga mampu dibendung daripada semakin parah.

Pengamalan norma baharu dalam membendung penularan wabak Covid-19 tidak akan menemui kejayaan sekiranya tidak dilaksanakan dengan baik oleh setiap lapisan masyarakat. Begitu juga halnya dengan permasalahan dadah. Kita perlu memutuskan rantaian aktiviti-aktiviti penyalahgunaan dadah.

Masyarakat perlu bersama-sama dengan pihak kerajaan dalam memastikan bahawa persekitaran tempat tinggal, institusi pendidikan, pusat latihan kemahiran dan tempat kerja bebas daripada sebarang masalah berkaitan dadah.

Institusi pendidikan dan pusat latihan kemahiran sepatutnya menjadi medium terbaik bagi pembentukan sahsiah dan pembangunan jati diri kerana sebahagian besar perkembangan individu berada di alam pendidikan secara formal.

Murid dan pelajar seharusnya memanfaatkan tempoh masa ini untuk turut membangunkan kemahiran kendiri seperti kemahiran asertif, kemahiran komunikasi dan kemahiran bersosial. Murid dan pelajar perlu sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum bagi mengelakkan terjebak dengan aktiviti pelencongan sosial dan penyalahgunaan dadah.

Persekitaran di tempat kerja pula haruslah sentiasa berada dalam keadaan yang kondusif. Program-program berkaitan kesedaran untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerja seperti program pendidikan pencegahan dadah perlu dilaksanakan secara berterusan.

Kerjasama ini akhirnya akan memberikan pulangan keuntungan kepada negara dan masyarakat. Negara dapat menjimatkan kos untuk menangani permasalahan dadah dan seterusnya mewujudkan persekitaran yang sihat serta selamat.

Seiring dengan perkembangan teknologi semasa, penggunaan aplikasi dan teknologi baharu perlu sentiasa diteroka dan digunakan untuk memantapkan usaha menangani permasalahan dadah. Mesej-mesej kesedaran antidadah perlu dipergiatkan lagi menerusi media-media baharu bagi memperingati masyarakat tentang ancaman bahaya dadah.

Namun begitu, terdapat juga pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyalahgunakan perkembangan teknologi. Semenjak akhir-akhir ini, dadah dan peralatan-peralatan untuk menggunakan dadah turut dijual di platform media sosial dan aplikasi membeli belah. Oleh yang demikian, pelbagai pihak terutamanya ibu bapa perlu sentiasa memantau aktiviti atas talian anak-anak mereka agar tidak terjerat dan terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

Golongan remaja dan belia adalah modal insan yang akan mengemudi negara pada masa hadapan. Mereka perlu dilengkapkan dengan jati diri yang kukuh agar dapat menghindari permasalahan sosial termasuk penyalahgunaan dadah. Faktor-faktor pelindung seperti pendidikan pencegahan dadah perlu dipertingkatkan manakala faktor-faktor risiko pula perlu dikurangkan.

Sehubungan itu, fokus peringatan Hari Antidadah Kebangsaan ke-38 Tahun 2021 ini dengan slogan “Lebih Baik Cegah” ialah remaja dan belia di seluruh Malaysia. Tema ini dipilih bagi mendorong semua pihak mengambil tanggungjawab dan tindakan awal dalam menangani permasalahan dadah, seiring dengan pepatah Melayu ‘Mencegah Lebih Baik Daripada Mengubati’.

Umum mengetahui bahawa permasalahan dadah adalah manifestasi permasalahan sosial yang lain seperti kerapuhan institusi rumah tangga, tahap pendidikan yang rendah, jenayah jalanan serta kemiskinan. Berikutan itu, dalam menangani permasalahan dadah, usaha sebuah pihak sahaja tidak mencukupi. Usaha kolaboratif secara bersepadu daripada pelbagai pihak perlu dilaksanakan bagi mengatasi permasalahan-permasalahan ini di peringkat awal.

Agensi Antidadah Kebangsaan juga akan meneruskan sasaran Dadah Terkawal 2025. Untuk itu, semua ahli masyarakat termasuk jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan dan ahli komuniti akan digerakkan dalam mengawal penularan penagihan dadah menjelang tahun 2025. Usaha ini akan dilaksanakan berdasarkan model-model yang telah dikenal pasti semasa pelaksanaan Projek Inisiatif Bersepadu Menangani Permasalahan Dadah, Substan dan Pelencongan Sosial pada tahun 2020.

Walaupun tema pada tahun ini menumpukan kepada aktiviti-aktiviti pencegahan, rawatan dan pemulihan terhadap mereka yang telah menyalahgunakan dadah akan tetap diteruskan. Agensi Antidadah Kebangsaan menyeru kepada semua yang telah terlibat dengan penyalahgunaan dadah untuk mendapatkan rawatan dan menjalani pemulihan secara sukarela sama ada di fasiliti yang disediakan oleh Kerajaan ataupun swasta. Sementara itu, operasi penangkapan dan penahanan pula akan juga diteruskan supaya kumpulan ini dapat dirawat dan dipulihkan sewajarnya.

Di kesempatan ini, saya mewakili Agensi Antidadah Kebangsaan merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah bersama-sama menangani permasalahan dadah. Semoga usaha kita akan terus mendapat sokongan masyarakat dan beroleh keberkatan Allah Subhanahu Wataala.

“Lebih Baik Cegah”
Dadah Terkawal 2025

Sekian, Wabillahi Taufik Wal Hidayah.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

KETUA PENGARAH
TUAN SUTEKNO AHMAD BELON

PROGRAM – PROGRAM SEMPENA PERINGATAN HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN 2021

1. WHITE CHALLENGE

OBJEKTIF

  1. Sebagai lambang solidariti masyarakat Malaysia dengan bersatu menolak dan membenci dadah.
  2. Menggembleng kesatuan komuniti dan keluarga dengan menerapkan nilai murni kehidupan.
  3. Mempamerkan jati diri dalam bentuk normal baharu bagi menyebarluaskan mesej membanteras dadah.

KAEDAH PELAKSANAAN

Peserta

  1. Penyertaan bagi White Challenge adalah berkonsepkan cabaran atas talian, di mana setiap individu atau kumpulan kecil (seperti ahli keluarga) di lokaliti masing-masing menunjukkan soladariti / sokongan dengan berimej putih atau apa-apa elemen putih.
  2. Sekurangnya 3 keping foto dengan aksi berlainan atau video berdurasi kurang dari 30 saat bagi setiap penyertaan.
  3. Setiap penyertaan memaparkan slogan ‘#lebihbaikcegah’ atau apa-apa yang berkaitan kempen anti dadah dalam bentuk sepanduk, papan tanda atau paparan yang sesuai.
  4. Peserta perlu ‘Like’ dan Follow Facebook Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia atau tag Instagram malaysia serta memuat naik foto atau video kreatif dalam media sosial masing-masing pada 19 Februari 2021.
  5. Setiap penyertaan perlu mematuhi SOP berkaitan COVID-19 yang sedang berkuat kuasa.
  6. Penyertaan adalah secara sukarela.

Jawatankuasa Kecil PTj

  1. Jawatankuasa Kecil PTj perlu membuat hebahan promosi program ini secara berterusan di media sosial masing-masing.
  2. Membuat pemakluman dan promosi kepada Jabatan/Agensi Kerajaan, NGO dan persatuan/pertubuhan sukarela tempatan.

2. BICARA SANTAI NURANI

3. SOLIDARITI ANAK MUDA BEBAS DADAH

POSTER - Solidariti 2021-

SOLIDARITI ANAK MUDA BEBAS DADAH 2021

Malaysia telah mengisytiharkan dadah sebagai Musuh Nombor 1 Negara sejak 19 Februari 1983. Semenjak itu negara kita sentiasa meningkatkan usaha dalam menangani permasalahan dadah.

Generasi baharu berhak menikmati kehidupan bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Ayuh anak muda sertai kami dengan menyatakan sokongan, pandangan, cadangan dan harapan anda bagi usaha-usaha menangani permasalahan dadah.

Marilah bersama-sama kami menyatakan sokongan SOLIDARITI ANAK MUDA BEBAS DADAH

#DadahTerkawal2025
#TakPerluStimGuys
#LebihBaikCegah
#KDN_TogetherWeAreOne
#SolidaritiAnakMudaBebasDadah

4. VIRTUAL RUN AGAINTS DRUGS 2021

virtual run aadk 2021