HADK 2022: Pulau Pinang tingkat kerjasama pemimpin, rakyat

Oleh: Fauzi Suhaimi

SEBERANG PERAI, 27 Mac 2022 – Penganjuran program Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan (HADK) 2022 peringkat Negeri Pulau Pinang meningkatkan kerjasama dan semangat bersatu padu antara semua pihak dalam memerangi gejala penagihan dadah.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, program tersebut menyatupadukan antara pemimpin dan rakyat dalam membawa mesej sama iaitu mengurangkan penagihan dadah dan meningkatkan kepulihan.

โ€œInisiatif murni ini merupakan medium terbaik untuk mengingatkan kita semua bahawa permasalahan dadah harus ditangani secara tegas dan bersepadu supaya ancaman dadah tidak terus menerus menceroboh entiti komuniti kita sehingga menghancurkan lebih ramai minda dan jiwa individu.
 
โ€œPenglibatan dan komitmen semua yang terlibat dalam program ini jelas menunjukkan kesatuan kita rakyat Malaysia, rakyat Pulau Pinang sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang bersatu dalam membanteras permasalahan dadah pemusnah anak bangsa, agama dan negara,โ€ katanya ketika berucap program Peringatan HADK 2022 peringkat Negeri Pulau Pinang di Dewan Pintar, Taman Guar Perahu, Penanti, Seberang Perai, Pulau Pinang, pada Sabtu.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow merasmikan program tersebut yang turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dr. Norlela Ariffin; Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad dan Pengarah AADK Pulau Pinang, Elmariah Chung.

Dalam pada itu, Tuan Sutekno menambah, semangat kerjasama tanpa mengira latar belakang budaya, agama dan pegangan politik mampu memerangi ancaman musuh nombor satu negara itu.

โ€œKita bersatu dalam kepelbagaian dan menjadikan kebersamaan ini sebagai tunjang utama kepada hubungan kerjasama antara pemimpin, agensi kerajaan dan rakyat dalam memerangi ancaman dadah,โ€ katanya.

Sementara itu, YAB Kon Yeow pula menjelaskan bahawa sambutan itu sebagai tanda komitmen semua pihak dalam menangani isu dadah secara serius.

Komitmen tersebut dizahirkan menerusi penetapan Fokus 5 Tahun di bawah Strategi Penang Lawan Ancaman Dadah (PLAD) menerusi AADK Pulau Pinang dengan kerjasama Kerajaan Negeri ke arah merealisasikan Matlamat Dadah Terkawal 2025.

Bukan itu sahaja, beliau turut menzahirkan penghargaan dalam menggerakkan pelbagai usaha bagi menjayakan Inisiatif Penghijauan Mukim 21 di negeri itu.

Pada majlis berkenaan YAB Kon Yeow juga menyampaikan sijil penghargaan kepada 50 orang terdiri daripada Jabatan Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pemimpin Komuniti, serta melancarkan Vest SKUAD Antidadah Pulau Pinang sebagai usaha membantu AADK menyampaikan maklumat berkaitan penyalahguna dadah dalam kalangan komuniti setempat.

Turut menjayakan majlis berkenaan ialah Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dr. Norlela Ariffin; Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad; Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah, Kamarul Haizal Koderat; Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainudin Abdullah dan Pengarah AADK Pulau Pinang, Elmariah Chung.

Accessibility Toolbar