HADK 2022: Perangi dadah tanggungjawab bersama pelbagai pihak

Oleh: Izyan Liyana Mohd Darif

TEMERLOH, 21 Mei 2022 – Peranan dan tanggungjawab membanteras permasalahan tidak terletak pada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), sebaliknya usaha tersebut memerlukan kerjasama pelbagai pihak.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Dato’ Sri Dr. Ismail Mohamed Said, bantuan, sokongan dan kerjasama para pemimpin komuniti, agensi dan jabatan lain amat diperlukan susulan trend penagihan dadah masa kini yang dilihat semakin mencabar.

“Kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) amat prihatin dengan cabaran penagihan dadah masa kini. Peningkatan penyalahgunaan dadah jenis sintetik dan dadah baharu memerlukan tindakan inovatif selari dengan arus perubahan semasa.

“Rawatan dan pemulihan menjadi lebih sukar kerana penggunaan dadah sintetik boleh menyebabkan penagih menjurus kepada kesihatan mental serta memerlukan program rawatan lebih spesifik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program AADK Bersama Masyarakat di Temerloh, Pahang.

Hadir menjayakan program ialah Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon; Pengarah Bahagian Pencegahan, Zainudin Abdullah dan Pengarah AADK Negeri Pahang, Zirwatul Ahlam Zam Zam.

Program AADK Bersama Masyarakat di Temerloh, Pahang adalah bersempena sambutan peringatan Hari Antidadah Kebangsaan (HADK) 2022 peringkat Negeri Pahang.

Pada acara tersebut para pengunjung bukan sahaja berpeluang mendapatkan khidmat nasihat dan maklumat berkaitan permasalahan dadah yang disediakan di Bas Pameran AADK dan Bas Perkhidmatan Rawatan Pemulihan Bergerak (MRT), malah turut disediakan pelbagai aktiviti menarik dan gerai jualan produk.

AADK dekati peminat Muay Thai, katakan tidak kepada dadah!

Dalam perkembangan berkaitan sempena HADK 2022 peringkat Negeri Pahang, AADK meneruskan kempen menyalurkan mesej antidadah kepada warga Temerloh pada acara Temerloh Muay Thai Fight 2022 di Padang Bola Ketumbit, Temerloh, Pahang.

Kempen itu dilaksanakan dengan menyampaikan pesanan khidmat nasihat dan pameran perkhimdatan agar tidak terjebak dengan permasalahan dadah.

Menariknya, para penonton bukan sahaja dapat menyaksikan aksi tangkas peserta Muay Thai daripada pelbagai negara, bahkan turut berpeluang mendapatkan maklumat mengenai penyalahgunaan dadah di Bas Pameran AADK yang disediakan di tapak acara.

Sesuai dengan pelancaran perkhidmatan baharu AADK yang dilakukan secara bergerak iaitu MRT, sasaran AADK kali ini terarah kepada mereka yang menggemari acara sukan tersebut.

Accessibility Toolbar