HADK 2022 Negeri Sembilan terus meriahkan komuniti setempat

Oleh: Muhammad Amir Zahien Amran

SEREMBAN, 12 Jun 2022 – Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan (HADK) 2022 peringkat Negeri Sembilan diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, di sini pada Khamis lalu dan diteruskan hingga ke hari ini bagi memeriahkan lagi sambutan HADK 2022 bersama komuniti setempat.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun menyarankan agar semua pemimpin kerajaan dan pemimpin komuniti menyantuni mereka yang telah terjebak dengan masalah penagihan dan tidak meletakkan stigma negatif kepada Klien Dalam Komuniti.

Beliau menambah, hal ini memberi ruang dan peluang kepada mereka yang telah terjebak bersama-sama dalam komuniti dan berusaha untuk mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) seperti sebuah keluarga.

Dalam program itu, beliau turut menyampaikan watikah penghargaan kepada pemimpin dan individu yang telah memberi sumbangan dalam program antidadah.

Sementara itu, pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada semua yang hadir antaranya pertandingan fitness dance, pertandingan mewarna kategori kanak-kanak, kuiz antidadah, kuiz kenegaraan daripada Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) dan poket mesej Lebih Baik Cegah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Paroi, YB Dato’ Taufek Abd. Ghani turut hadir menzahirkan sokongan dengan mengambil peluang beramah mesra bersama Klien Dalam Komuniti serta komuniti setempat bagi menyahut slogan ‘Kami Prihatin Pemimpin Komuniti’.

Beliau menyarankan agar semua klien sentiasa mengambil langkah terbaik dan perbaiki diri ke arah kehidupan yang lebih terjamin tanpa pengaruh dadah.

Dalam masa sama, beliau menggesa komuniti setempat untuk terus membantu AADK dalam usaha membasmi penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan belia di negeri ini.

Terdahulu, beliau turut mengambil kesempatan melawat setiap booth pameran yang disediakan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, syarikat swasta, pameran pemotoran, kaunter pendaftaran skuad, kaunter aduan, advokasi dan gerai jualan.

Turut sama menjayakan sambutan HADK 2022 peringkat Negeri Sembilan ialah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dengan mengadakan ceramah motivasi diri bertajuk ‘Sayangi Diri, Jom Cegah’ dibawa khas oleh penceramah jemputan, Ustaz Md. Shukri Abdullah.

Accessibility Toolbar