GIRN Bantu Operasi Penguatkuasaan AADK Lebih Cekap, Efektif

Oleh: Izyan Liyana Mohd Darif


KAJANG, 13 Oktober 2021 – Sejarah tercipta apabila buat julung kalinya Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menerima terminal Rangkaian Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Rabu.


Penerimaan peralatan komunikasi terdiri daripada 128 unit handheld dan 16 unit dekstop itu secara tidak langsung menjadikan AADK agensi pengguna GIRN yang ke-17.


Pada masa sama, kemudahan itu menempatkan AADK sebaris dengan pasukan penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam penggunaan teknologi komunikasi digital bersepadu bagi pelaksanaan penguatkuasaan lebih cekap.


Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK berkata, operasi penguatkuasaan pasukan agensi ini akan lebih proaktif dengan menggunakan sistem komunikasi GIRN.


“AADK yakin menerusi penggunaan GIRN tindakan mengesan mereka terlibat penyalahgunaan dadah dalam operasi penguatkuasaan akan lebih berkesan dan mendatangkan kejayaan besar.


“Selain operasi pengesanan, GIRN juga membantu AADK dalam operasi mengumpul maklumat risikan bagi merancang strategi dan tindakan serta membina profil penyalahgunaan dadah yang lebih tepat,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan GIRN yang berlangsung di Ibu Pejabat AADK di sini.


Hadir sama menyertai majlis itu ialah Tuan Hamzah Ishak, Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara dan En. Shakir Badri Sepurdin, Ketua Pegawai Operasi Sapura Research Sdn Bhd (SRSB).


Sementara itu, Muhamad Sade berharap jumlah unit terminal GIRN dapat ditambah pada masa akan datang bagi kegunaan di seluruh negara.
“Ini termasuklah memperkukuhkan jalinan kerjasama antara pihak MKN dan AADK dengan sokongan SRSB dari semasa ke semasa untuk merealisasikan visi Malaysia Sebagai Negara Yang Aman Sejahtera dan Berdaulat dan Masyarakat Malaysia Bebas Dari Dadah serta pelan strategik Dadah Terkawal 2025,” ujarnya.