Kunjung Hormat Agensi Antidadah Kebangsaan Ke Yayasan AlBukhary

(Malay Version) 31 Januari 2019 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah mengadakan sesi kunjung hormat ke pejabat Yayasan Albukhary di Kuala Lumpur yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Hj. Izhar bin Abu Talib, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK. Dalam pertemuan tersebut, pihak Yayasan yang diwakili oleh YBhg. Datuk Seri Abdul Aziz Shahar, Penasihat Yayasan Albukhary menyambut baik program-program yang telah dilaksanakan oleh Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) berdaftar dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) khususnya dalam bidang rawatan dan pemulihan dadah. Beliau juga berterima kasih kepada AADK kerana telah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaiknya serta yakin bahawa sumbangan yang telah diberikan kepada AADK sedikit sebanyak dapat memberi impak positif kepada kumpulan sasar dan mencapai matlamat yang diharapkan.

AADK juga amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Yayasan Albukhary kerana sudi meneruskan kerjasama dan memberi sokongan sepenuhnya dalam memastikan penagih dadah menerima manfaat daripada program-program rawatan dan pemulihan yang dilaksanakan. Usaha ini dilihat sebagai satu tanggungjawab sosial (CSR) yang ditunjukkan oleh badan korporat bagi mendorong pihak-pihak lain untuk turut serta menyokong usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam membasmi penyalahgunaan dadah di seluruh negara.