Bulan Antidadah Kebangsaan 2020

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH DAN SALAM SEJAHTERA.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah Subhanahu wataala kerana dengan limpah kurnia dan inayahnya kita sama-sama berada di tahun 2020 yang akan menyaksikan segala daya usaha kita dicurahkan dalam  memastikan wawasan kemakmuran Bersama 2030 dapat dicapai.

Kemakmuran negara ini diterjemahkan melalui kebersamaan kita menjalani kehidupan dalam suasana yang harmoni, bebas dari segala gejala sosial yang menjadi ancaman kepada ganerasi muda yang merupakan aset kepada negara yang kita cintai.

Peranan komuniti amat penting di dalam mendidik dan menanamkan kesedaran berhubung bahaya penyalahgunaan dadah. Isu penyalahgunaan dadah tidak boleh ditangani secara berasingan ianya menuntut komitmen semua pihak untuk memastikan ganerasi kita terdidik dalam membuat pilihan yang tepat.

Usaha memperkasakan pendidikan pencegahan amat penting dilaksanakan biarpun hasilnya tidak dapat dilihat dalam tempoh yang singkat namun usaha ini amat perlu diambil serius oleh semua pihak.  Dalam ledakan teknologi dan arus kemodenan ibubapa dan masyarakat harus peka dan cakna terhadap keperluan anak-anak seiring dengan perkembangan arus kemodenan yang sentiasa menyediakan ruang dan peluang untuk mereka terdedah kepada pelbagai pengaruh negatif. Kita harus mendidik ganerasi yang celik dan mampu untuk membuat pilihan yang bijak dalam arus perkongsian maklumat tanpa sempadan.

Sekiranya komuniti dan semua pihak berusaha bergandingan bahu untuk melaksanakan usaha murni ini pastinya hasrat untuk menyaksikan gejala penyalahgunaan dadah ini dapat dikawal bukanlah satu perkara mustahil.  Ini kerana statistik menunjukkan ganerasi kita telah terjebak dengan penyalahgunaan dadah seawal persekolahan dan ianya merupakan “api dalam sekam” yang akan memusnahkan ganerasi pemimpin masa hadapan negara.

AADK memegang amanah dalam merawat pulih dan mendidik masyarakat untuk menanamkan kesedaran dan meningkatkan kepekaan masyarakat seluruhnya berhubung isu dadah. Namun begitu isu dadah bukan masalah dan tanggungjawab Agensi ini sahaja sebaliknya ianya adalah masalah kita bersama.

Sehubungan itu di dalam memastikan wawasan kemakmuran bersama ini dapat dicapai dan diterjemahkan ianya menuntut komitmen semua pihak selaras dengan matlamat Dasar Dadah Negara iaitu untuk mewujudkan Negara dan bangsa Malaysia yang bebas daripada ancaman gejala dadah bagi menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan mengekalkan kestabilan dan ketahanan nasional melalui (5) lima teras iaitu, Pendidikan Pencegahan, Rawatan dan Pemulihan, Penguatkuasaan, Pengurangan Kemudaratan dan Kerjasama Antarabangsa.

Akhir kata, dalam merealisasikan pelbagai usaha dan tekad di tahun 2020 ini saya juga ingin  menegaskan bahawa Bulan Antidadah Kebangsaan ini merupakan platform dan ruang untuk kita memberi kefahaman dan menanamkan jati diri masyarakat bahawa “prevention is better than cure”.

Semoga setiap langkah yang kita ambil adalah langkah ke arah kejayaan dan kecemerlangan. Harapan saya agar segala usaha murni kita untuk membebaskan negara dari permasalahan dadah akan diberkati Allah SWT untuk Kemakmuran dan Kesejahteraan Bersama; Dadah Terkawal 2025.

Sekian. Wabillahitaufiq wal hidayah, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

KETUA PENGARAH
AGENSI ANTIDADAH KEBANGSAAN


Tema & Objektif

Tema sambutan kali ini ialah “Kemakmuran dan Kesejahteraan Bersama”

Objektif penganjuran Bulan Antidadah Kebangsaan 2020 adalah: 

  1. Meningkatkan kesedaran pelbagai lapisan masyarakat mengenai peranan komuniti untuk bersama kerajaan dalam usaha memerangi dadah secara menyeluruh;
  2. Menyebarluas mesej-mesej antidadah mengunakan saluran kempen berkesan kepada komuniti; dan
  3. Menggembleng kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, pihak industri, NGO/NPO dan pemimpin masyarakat dalam usaha pencegahan dadah secara holistik.

Program Sambutan

1) Aktiviti Media dan Hebahan

Aktiviti ini telah pun bermula sejak Januari 2020 yang menggunakan Media Sosial rasmi AADK seperti Instagram, FB dan Tweeter. Sebaran maklumat juga turut menggunakan laman web, termasuk kerjasama dengan PRO kementerian, jabatan dan agensi. Aktiviti media dan hebahan akan berlangsung sepanjang tahun bagi menyampaikan maklumat bahaya dadah kepada masyarakat.

Aktiviti ini akan diperhebatkan sepanjang sambutan Bulan Antidadah Kebangsaan dengan menggunakan smart partnership seperti stesen TV dan Radio termasuk paparan LED dan BillBoard di lokasi dalam kawasan berisiko tinggi.

2) Pertandingan Video Pendek Dan Debat Peringkat Sekolah Dan IPTA

Program ini bertujuan untuk mencungkil bakat serta mengumpul pelbagai idea kreatif dalam kalangan pelajar sekolah dan IPT yang bertemakan pencegahan dadah. Hasil idea melalui video-video yang dihantar akan dinilai oleh pakar dalam bidang seni kreatif manakal video yang menang akan digunakan sebagai tambahan kepada input kempen antidadah AADK.

Tempoh Pertandingan Video Pendek : Dari 1 – 29 Februari 2020
Kategori : Sekolah Menengah dan IPTA

Manakala pertandingan debat akan melibatkan 20 institusi pengajian tinggi awam yang bertujuan mengetengahkan bakat dan idea dalam usaha pelajar untuk mengupas isu penyalahgunaan dadah. Ia juga dijadikan sebagai medium menyebarkan maklumat dalam kalangan warga kampus.

Tempoh Pertandingan Debat : Dari 1 – 29 Februari 2020
Kategori : IPTA
Pertandingan Akhir : 17 Mac 2020

Accessibility Toolbar