Cuepacs sedia bimbing PPAD laksanakan objektif penubuhan

Oleh: Jackson Vincent

KUALA LUMPUR, 17 Oktober 2023 – Seramai lapan Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (PPAD) yang diketuai oleh Presidennya, Mohd Azlan Ahmad telah mengadakan kunjung hormat kepada Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Dato’ Dr. Adnan Mat di Wisma CUEPACS pada Selasa

Pertemuan itu diadakan selepas pelantikan baharu bagi AJK PPAD yang diadakan pada 13 April 2023 lalu bertujuan untuk memperkenalkan PPAD serta objektif penubuhannya kepada Cuepacs.

Dalam sesi tersebut, Cuepacs telah mendengar taklimat ringkas serta perancangan aktiviti PPAD yang disampaikan oleh Mohd Azlan yang mengetengahkan kepada pembangunan profesionalisme pegawai AADK serta meningkatkan mutu perkhidmatan berdasarkan misi AADK.

Pada masa yang sama, kebajikan pegawai AADK turut diutarakan sebagai usaha yang diambil PPAD di peringkat agensi.

Sementara itu, Dato’ Dr. Adnan turut menzahirkan kesediaan untuk membantu PPAD dalam merealisasikan perancangan yang disuarakan dengan menyediakan pegawai khusus dari Cuepacs untuk membantu perjalanan aktiviti PPAD.

Sepanjang sesi pertemuan itu, Dato’ Dr. Adnan turut membuka ruang kepada pegawai tinggi Cuepacs untuk mengadakan dialog dengan deligasi PPAD termasuk mengenai isu semasa berkaitan senario penyalahgunaan dadah dalam negara dan peluang untuk mempromosi kempen antidadah dalam perkhidmatan awam.

Pertemuan itu membawa kepada peluang kerjasama jangka panjang selepas Presiden Cuepacs berhasrat untuk mengadakan pertemuan lanjutan pada masa akak datang bagi membantu PPAD dalam melaksanakan objektif penubuhannya.

Accessibility Toolbar