
Disediakan Oleh : AADK Kelantan
MACHANG – Selepas beberapa hari mengumpul dan meneliti maklumat risikan, Unit Penguatkuasaan AADK Daerah Machang telah melancarkan satu operasi pengesanan dan penahanan penagih dadah (Ops Cegah) yang mensasarkan dua buah lokasi berbeza pagi
kelmarin. Menurut maklumat awal, sebuah pondok dalam kawasan bendang padi yang agak jauh dari pandangan orang ramai telah dijadikan port penagih dadah. Manakala, lokasi kedua pula berada dalam kawasan perumahan di bandar Machang.
Ketika serbuan dilakukan di pondok bendang padi, suspek sedang leka berbual sesama sendiri. Suspek cuba melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak AADK. Kedua-duanya berjaya diberkas selepas berlaku adegan kejar mengejar di kawasan bendang padi itu.
Di lokasi kedua pula, AADK menyerbu masuk ke dalam sebuah rumah dan telah menahan dua orang suspek. Kesemua mereka dibawa balik ke pejabat AADK untuk saringan awal ujian urin. Keputusannya, tiga daripada mereka didapati positif dadah jenis Methamphitamine manakala seorang lagi positif dadah jenis Opiat.
Ketua Pegawai AADK Daerah Machang, Encik Azahari Abdullah berkata hasil dari operasi itu, empat orang penagih telah ditahan, dua daripadanya berumur bawah 20 tahun. Kesemua mereka disiasat di bawah seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.