Oleh: Fauzi Suhaimi
GEDONG, 16 Julai 2022 – Kerajaan Negeri terus proaktif melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha menangani permasalahan dadah dan substan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat di Sarawak.
Pendekatan secara holistik dan inklusif ditekankan bagi membentuk komuniti aktif dan berdaya saing, sekali gus mewujudkan kualiti persekitaran aman dan selamat.
Salah satu usaha bagi mencapai matlamat tersebut adalah menerusi penganjuran Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan (HADK) 2022 dan Program Jualan Langsung (JTDL) Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan secara serentak di Gedong, Sarawak.

Penganjuran dua program secara bersepadu adalah platform untuk saling menyantuni ‘Lebih Baik Cegah’ bagi memerangi isu pelencongan sosial seperti penyalahguna dadah dan substans termasuk membuka peluang pembangunan ekonomi dari aspek peladangan.
Menerusi penganjuran dua program di bawah tadbir urus One Stop Committee Menangani Isu Dadah dan Substans (OSC-MIDS) Sarawak dan program Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berkenaan adalah berpandukan model i-Pulih AADK, model i-Cegah AADK dan model i-Prihatin AADK.
Antara pengisian disediakan untuk masyarakat setempat termasuk aktiviti Omnipresence, Walking Message, latihan kompetensi untuk Biro Menangani Isu Dadah & Substans Kawasan Penghulu Simunjan dan Gedong, Ziarah Kasih, jualan produk hasil pertanian, industri asas pertanian dan pameran serta khidmat nasihat daripada pelbagai agensi.

Untuk makluman HADK 2022 dan Program JTDL Peringkat Negeri Sarawak merupakan anjuran bersama AADK, FAMA, OSC-MIDS Sarawak, Majlis Pembangunan Sosial Negeri Sarawak dan Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Bahagian Samarahan.
Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg merasmikan program berkenaan baru-baru ini.
Sejurus selesai ucapan perasmian, YAB Premier Sarawak berbesar hati menyampaikan Sijil dan Mock Cheque kepada Sukarelawan SKUAD Antidadah Negeri Sarawak serta sombolik penyerahan Mock Qheque Insentif eWallet kepada penerima.
Terdahulu YAB Premier Sarawak membuat lawatan ke tapak pameran agensi dan jabatan kerajaan termasuk AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Hadir menjayakan majlis ini ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, YB Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon.