Aspek keselamatan jamin proses kepulihan klien

Oleh: Rashdan Zakaria

AYER KEROH, 21 Oktober 2022 – Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Tuan Sutekno Ahmad Belon menegaskan aspek keselamatan antara elemen penting dalam memastikan semua Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) berada dalam keadaan selamat bagi menjamin proses kepulihan klien.

Tuan Sutekno berkata, perkara itu secara tidak langsung berupaya menjadikan usaha merawat pulih klien yang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) berjalan lancar dan berkesan.

“Sebagai pegawai yang bertanggungjawab dalam pengurusan aspek keselamatan memainkan peranan amat penting dalam memastikan kawalan dan keselamatan berada pada tahap yang tinggi.

“Selain itu, pembentukan pegawal keselamatan agar melaksanakan tanggungjawab berlandaskan kepada Perintah Tetap Ketua Pengarah (PTKP) dan Garis Panduan semasa juga perlu ditekankan agar isu seperti kelarian dan pergaduhan dalam institusi dapat dielak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program โ€˜After Dinner Talkโ€™ Keselamatan Bersama Pengarah-pengarah AADK di Melaka, pada Khamis.

Tuan Sutekno berkata, pengawal keselamatan boleh diibaratkan sebagai barisan hadapan dan merupakan individu yang mempunyai hubungan rapat dengan klien.

“Tidak dinafikan bahawa peranan pengawal keselamatan adalah amat besar dalam menyumbang kepada keselamatan dan juga kesejahteraan warga PUSPEN.

“Jadi, apa-apa juga tindakan yang membelakangi PTKP dan Garis Panduan semasa pastinya akan memberi kesan buruk kepada keselamatan dan kesejahteraan warga PUSPEN,” tegasnya.

Tujuan program itu diadakan bagi menyediakan satu platform komunikasi dua hala di antara pengurusan tertinggi AADK bersama Penolong Pengarah (Keselamatan) PUSPEN dan Ketua Cawangan Keselamatan PUSPEN (KCK) bagi membolehkan pegawai-pegawai menghayati hala tuju AADK dengan lebih jelas dan dapat berkongsi idea khususnya dalam hal ehwal berkaitan keselamatan PUSPEN seluruh negara.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Dato’ Dr Muhamad Sade Mohamad Amin dan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan, Azmi Mustapa.

Accessibility Toolbar