Oleh: Izyan Liyana Mohd Darif
DENGKIL, 24 Jun 2022 – Selepas 75 hari melalui proses penanaman buah rock melon yang ditanam di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Dengkil, Selangor telah dijual kepada orang awam menerusi aktiviti Jom Petik Rock Melon baru-baru ini.
Menariknya, para pengunjung berpeluang memilih dan memetik sendiri buah rock melon di ladang seluas setengah ekar yang diusahakan kumpulan klien di PUSPEN berkenaan.

Pengarah PUSPEN Dengkil, Ruziliza Ibrahim berkata, aktiviti tahunan itu merupakan latihan kemahiran vokasional di bawah Modul i-Pulih Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) buat klien yang sedang mengikuti program rawatan dan pemulihan di PUSPEN Dengkil.
“Justeru, pada hari ini pengunjung dapat melihat hasil kerja klien dan kemahiran-kemahiran disediakan pihak AADK sepanjang mereka (klien) menjalani tempoh rawatan dan pemulihan di sini (PUSPEN Dengkil).
“Selain itu, dengan adanya projek seumpama ini secara tidak langsung ilmu dan kemahiran yang mereka pelajari di PUSPEN boleh dipraktikkan di luar, sekali gus menjana pendapatan kelak,” katanya

Aktiviti Jom Petik Rock Melon telah dijayakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Puan Chan Hong Jin bersama Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PUSPEN Dengkil, Dato’ Sabari Misran yang turut berkesempatan memetik buah rock melon sudah matang.