AADK, UPM Tandatangan Surat Pertukaran Niat (LOI) Bangunkan Aplikasi I-Pulih

SHAH ALAM – Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Selangor Bilangan 1 Tahun 2021 yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Nor Azmi Diron, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Hotel Concorde, di sini, pada Jumaat.

Mesyuarat itu bertujuan membincangkan isu-isu permasalahan penyalahgunaan dadah, substan dan pelencongan sosial serta tindakan-tindakan perlu dilakukan bagi menanganinya.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri YBrs Tuan Sutekno Ahmad Belon, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Idrus, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Putra Malaysia (UPM) serta ketua-ketua jabatan berkaitan.

Melalui mesyuarat tersebut, isu penyalahgunaan dadah, substan dan pelencongan sosial dibincang secara lebih terperinci serta pandangan dan syor yang boleh dilaksanakan dalam usaha membanteras penyalahgunaan dan penagihan dadah di Selangor dapat disuarakan bagi mencapai matlamat Selangor Sejahtera Tanpa Dadah dan Dadah Terkawal 2025.

Dalam masa sama, majlis Menandatangani Surat Pertukaran Niat (LOI) antara AADK dan UPM turut diadakan dan disaksikan oleh Nor Azmie.

Menurut Nor Azmie, program tersebut merupakan transformasi pendigitalan program rawatan dan pemulihan melalui aplikasi i-Pulih.

“Ia sekali gus membuktikan bahawa kerajaan negeri Selangor sentiasa komited dan memberikan sokongan yang jitu kepada AADK, khususnya kepada program-program pencegahan dadah, program penguatkuasaan dadah serta program rawatan dan pemulihan dadah.

“Pelancaran aplikasi i-Pulih itu mengharapkan agar AADK dan UPM dapat mencungkil dan menggilap bakat serta potensi sebenar diri klien dengan mengetengahkan bakat tersebut bagi meneruskan hidup dan kekal abstinen sepanjang fasa pengawasan,” katanya.

Nor Azmie menambah, menerusi pendekatan i-Pulih, ia diharapkan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi kerajaan lain tampil bersama-sama berganding bahu dalam memastikan usaha membasmi gejala penagihan dadah dapat dilakukan dengan lebih komprehensif.

Terdahulu surat berkenaan ditandatangani Sutekno yang mewakili AADK manakala bagi pihak UPM diwakili Zulkifli.

Accessibility Toolbar