AADK Turun Padang Salur Maklumat Bahana Najis Dadah

Oleh : Izyan Liyana Mohd Darif

Kajang, 23 September 2021 – Dalam usaha menyalurkan maklumat penyalahgunaan dadah pasukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengambil inisiatif melaksanakan Program Walking Message dan Omnipresence baru-baru ini.

Ia bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat bahana terjebak najis dadah, sekali gus menyalurkan pendidikan pencegahan agar masalah penyalahgunaan dadah dapat dikawal.

Pengisi program berlangsung dalam suasana santai dan berkonsepkan interaksi dua hala apabila pasukan AADK turun padang bertemu komuniti dan orang awam di beberapa lokasi di empat buah negeri.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak lapan lokasi menjadi pilihan seperti Galleria Putrajaya Holding Presint 4, KLCC Park, Kawasan Inisiatif Bersepadu (KIB) Setapak, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia, PPR Kerinchi dan Flat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sementara itu, di Selangor kira-kira 22 lokasi taman rekreasi dan pasar awam dikunjungi pasukan AADK. Antaranya Pantai Remis, Bukit Melawati, Kompleks Bangi Gateway, Kawasan Perkelahan Alor Lempah, Pasar Tani PJS, Pasar Tani Taman Muda dan Taman Rimba Templer.

Inisiatif itu adalah untuk membina hubungan bersama masyarakat agar membantu menyalurkan maklumat kepada AADK dan pihak berkuasa untuk menangani permasalahan dadah dan pelencongan sosial di negeri Selangor.

Bagi negeri Kelantan direkodkan sebanyak 38 aktiviti Omnipresence dan 15 aktiviti Walking Street Message dilaksanakan membabitkan enam jajahan iaitu di Tumpat, Kota Bharu, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Bachok pada 10 Ogos hingga 20 September lalu.

Dalam pada itu, di Pahang pasar raya, pasar awam, kedai makan dan kedai gunting rambut antara lokasi tumpuan bagi pelaksanaan program Walking Message dan Omnipresence.

Tidak ketinggalan aktiviti berkenaan turut melibatkan kawasan pantai dan reakrasi antaranya Pantai Teluk Cempedak, Pantai Rompin, Taman Tasik Maran dan Taman Esplanade.

Accessibility Toolbar