AADK tidak berkompromi pegawai, kakitangan terlibat salah laku rasuah

Oleh: Izyan Liyana Mohd Darif

KAJANG, 15 September 2021 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tidak akan berkompromi dan bertolak-ansur terhadap mana-mana warganya yang terlibat dalam salah laku rasuah.

Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, sebarang perbuatan rasuah sama ada dalam atau di luar organisasi tidak seharusnya berlaku.

Sehubungan itu, ujarnya Pengarah Bahagian dan Pusat Tanggungjawab (PTj) perlu bersikap lebih tegas baik kepada pegawai, kakitangan mahupun pihak lain yang didapati melakukan aktiviti tidak berintergriti itu.

“Kita tidak boleh takut atau bimbang dengan pangkat atau status sosial mereka yang tinggi. Setiap tindakan rasuah perlu dilaporkan kepada pihak Pengurusan Tertinggi Agensi dan pihak berkuasa.

“Sifat berintegriti sewajarnya disemat dalam diri setiap penjawat awam memandangkan ia merupakan tunjang kepada setiap organisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Integriti Nasional AADK 2021 bertemakan Integriti Pemangkin Keluarga Malaysia selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang menekankan asas keutuhan negara di Ibu Pejabat AADK di sini, Isnin lalu.

Hadir sama menjayakan majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Chan Hong Jin.

Dalam pada itu, Sutekno juga menyatakan bahawa menjadi individu berintegriti bukanlah perkara mudah, tetapi ia boleh dicapai berbekalkan keazaman yang tinggi.

“Menjadi seorang yang berintegriti bukanlah mudah, namun jika inginkan kehidupan cemerlang pada masa hadapan, maka individu perlu berusaha memperkukuhkan integriti diri dan orang lain di bawah tanggungjawabnya,” tegasnya lanjut.

Pada majlis tersebut beliau turut menyampaikan Anugerah Ikon Integriti AADK 2021 kepada warga agensi cemerlang dari aspek kerja berintegriti, berdisiplin tinggi dan mempamerkan ciri-ciri peribadi positif.

Selain itu, pada penganjuran Sambutan Hari Integriti Nasional AADK 2021 juga diadakan sesi Webinar Executive Talk bersama penceramah Dato’ Dr Danial Zainal Abidin yang membicarakan topik ‘Integriti Pemangkin Keluarga Malaysia’.

hari integriti
Tuan Sutekno menyifatkan bahawa menjadi individu berintegriti bukanlah perkara mudah, tetapi ia boleh dicapai berbekalkan keazaman yang tinggi. – Gambar AADK/Muhammad Rashdan Mohd Zakaria
hari integriti
Tuan Sutekno (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Ikon Integriti AADK 2021 kepada warga agensi cemerlang pada sambutan Hari Integriti Nasional AADK 2021 di Ibu Pejabat AADK baru-baru ini. – Gambar AADK/Muhammad Rashdan Mohd Zakaria
hari integriti
Sambutan Hari Integriti Nasional AADK 2021 mengangkat tema Integriti Pemangkin Keluarga Malaysia selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang menekankan asas keutuhan negara. – Gambar AADK/Muhammad Rashdan Mohd Zakaria

Accessibility Toolbar