Oleh Amir Zahien Amran
KAJANG, 7 Mac 2022 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga agensi yang terlibat dalam kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah laku integriti.
Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon menegaskan, integriti merupakan instrumen penting dalam pengurusan dan pentadbiran agensi agar tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan yang telus dapat dilunaskan dengan baik di semua peringkat.
“Warga AADK disarankan menjalankan tugas dengan penuh amanah, ikhlas, jujur dan menerapkan nilai murni dalam diri, seterusnya menjadi teladan yang baik kepada orang lain.
“Justeru, sekiranya terdapat sebarang pelanggaran integriti dan perlakuan rasuah dalam kalangan warga AADK, maka segera melaporkan mengikut saluran ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan AADK sempena Perhimpunan Bulanan AADK Mac 2022 di Ibu Pejabat AADK di sini pada Isnin.
Hadir menjayakan majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Junipah Wandi dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Dato’ Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin.
Pada majlis berkenaan, Tuan Sutekno turut mengetuai lafaz Ikrar Bebas Rasuah bersama-sama pegawai dan kakitangan AADK di seluruh negara secara bersemuka dan dalam talian.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak AADK juga sedang mendapatkan Pensijilan ISO 37001‘Anti-Bribery Management Systems’ (ABMS) bagi mengurangkan risiko amalan rasuah di peringkat agensi.
“Pensijilan ABMS adalah langkah pengukuhan integriti bagi mengelakkan sebarang kelemahan Prosedur Operasi Standard (SOP) agensi yang boleh membuka ruang dan peluang berlakunya gejala rasuah.
“Pada masa sama, menerusi pensijilan tersebut ia akan membolehkan kita (AADK) menguruskan risiko kepatuhan dan melonjakkan persepsi serta reputasi organisasi pada mata umum,” ujar beliau lanjut.
