Oleh Amir Zahien Amran
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menandatangani nota kerjasama Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) dalam usaha memastikan warga SPRM bebas daripada permasalahan dadah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, nota kerjasama tersebut merupakan komitmen kedua-dua pihak dalam memastikan agensi kerajaan khususnya SPRM bebas pengaruh dadah.
“Nota kerjasama ini adalah lambang komitmen kedua-dua pihak dalam memastikan agensi kerajaan khususnya SPRM bebas daripada dadah. Seperti yang kita sedia maklum dadah merupakan ancaman utama kepada masalah moral dan jenayah di negara ini.
“Bermula daripada penyalahgunaan dadah ia boleh mencetuskan kepada jenayah lain seperti merompak, mencuri, pecah amanah dan rasuah yang membawa kepada membunuh,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) antara SPRM dan AADK sempena Perhimpunan Bulanan AADK Mac 2022 di Ibu Pejabat AADK baru-baru ini.
Hadir menjayakan majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Junipah Wandi, Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Dato’ Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin.
Mengulas lanjut mengenai penyalahgunaan bahan terlarang tersebut Norazlan memberitahu bahawa warga SPRM juga tidak terlepas daripada ancaman dadah yang membawa risiko dan impak besar kepada organisasi terbabit.

Justeru, pihak SPRM menyambut baik sokongan AADK bekerjasama membantu SPRM melibatkan beberapa perkara.
“Saya amat berbesar hati di atas kesudian AADK bekerjasama membantu SPRM dalam memberi latihan kepada pengawai-pegawai SPRM dalam mengendalikan saringan ujian air kencing dan membantu menguruskan program pemulihan dadah sekiranya terdapat pegawai yang didapati positif dalam penyalahgunaan dadah.
“Ini termasuklah, membantu kedua-dua pihak dalam mempromosi jabatan masing-masing untuk menjadikan tempat kerja bebas dadah dan tolak rasuah dalam kalangan penjawat awam lain dan masyarakat.
“Tidak ketinggalan berkongsi kepakaran, kemahiran, maklumat dan penggunaan aset bagi memastikan tempat kerja bebas dadah dan rasuah,” katanya.
