AADK, PENJARA perkukuh hubungan dan gerak kerja rawat pulih penagih dadah

Oleh: Suraya Mohamad dan Wan Ma’idah Wan Mahazan

KANGAR, 20 September 2022 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis komited untuk memperkukuh hubungan dan gerak kerja bersama Jabatan Penjara Malaysia Negeri Perlis dalam usaha merawat pulih mereka yang terjebak dengan permasalahan dadah khususnya yang ditahan dalam penjara. Kerjasama itu dizahirkan kedua-dua pihak dalam sesi kunjungan hormat Timbalan Pengarah Penjara Perlis, Penguasa Penjara, Zakaria Jusoh kepada Pengarah AADK Negeri Perlis, Tuan Khairul Anwar Ahmad baru-baru ini.

Perbincangan program kerjasama dua hala antara AADK dan Penjara bagi merawat dan memulih klien yang melalui perkhidmatan Mobile Recovery Treatment (MRT AADK). Gambar / AADK Negeri Perlis

Menerusi kunjungan hormat itu, pelbagai isu dibincangkan secara bersama antaranya untuk memperhebat hubungan kerjasama antara jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri dan pelaksanaan program rawatan dan pemulihan kepada penghuni penjara, orang tahanan dan orang diparol. Selain itu, kunjungan berkenaan turut memfokuskan kelestarian perkhidmatan baharu AADK iaitu Mobile Recovery Treatment (MRT AADK) di Pejabat Parol Daerah Kangar melalui Rumah Perantaraan yang mempunyai 15 orang penghuni.

Sejak dilancarkan pada 19 Mei 2022, MRT AADK yang mengetengahkan konsep ‘AADK Kepada Anda’ dilihat berupaya menyantuni mereka yang berdepan dengan masalah ketagihan dadah dan bahan khususnya orang yang diparol (ODP) dan orang yang dibebaskan bersyarat (ODB). Justeru, satu taklimat khusus berkaitan MRT AADK akan diadakan dari semasa ke semasa kepada semua Anggota Jabatan Penjara Negeri Perlis dan Anggota Pusat Koreksional Perlis.

Semoga kerjasama ini dapat diterjemahkan secara bersama sekali gus memberikan manfaat kepada semua Keluarga Malaysia. Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Ketua Bahagian Parol Negeri Perlis, Syed Naser Syed Abdullah dan Pegawai Parol dan Perkhidmatan Komuniti Kangar, Mohd Izham Fadzil.

Kunjung hormat Timbalan Pengarah Penjara Perlis, Penguasa Penjara Zakaria Jusoh ke pejabat AADK Negeri Perlis diharapakan dapat memperkasa serta mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada. Gambar / AADK Negeri Perlis

Accessibility Toolbar