AADK Kedah komited perluas program TEKAD

Oleh: Nuryani Mat Engtemin

ALOR SETAR, 16 Mac 2023 – Melihat kepada keberkesanan pelaksanaan program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kedah komited memperluas program tersebut kepada pihak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta.

Pengarah AADK Negeri Kedah, Abdul Hamediee Ibrahim berkata, usaha itu sebagai langkah pencegahan awal bagi memastikan suasana tempat kerja yang sejahtera dan kondusif tanpa pengaruh dadah.

“Sebanyak 20 syarikat terlibat dengan program TEKAD antaranya Permodalan Kedah Berhad; KXP Airportcity Holding Sdn. Bhd; Human Resource Development Corporation (HRD Corp); Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd dan PAKA Utama Holdings Sdn. Bhd..

“Seramai 23 orang peserta hadir mengikuti taklimat Program TEKAD GLC negeri Kedah yang diadakan di pejabat AADK Negeri Kedah,” katanya di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Abdul Hamediee berkata, pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk taklimat pendedahan kepada majikan tentang isu penyalahgunaan dadah di tempat kerja.

“Dengan adanya program ini, majikan boleh mengambil pendekatan untuk membuat pencegahan awal dan mengenal pasti gejala awal penyalahgunaan dadah atau bahan di tempat kerja,” ujarnya.

Terdahulu, taklimat Program TEKAD disampaikan oleh Penolong Pengarah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bukit Chabang, Perlis, Mohammad Nurddin Ramli yang menekankan aspek pendidikan kesedaran dalam mengurus isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pekerja dan memberi maklumat pendidikan pencegahan dadah di tempat kerja.

Selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Kedah bilangan 1, 2022 yang lalu, Program TEKAD Swasta Negeri Kedah perlu dilaksanakan.

Ia juga merupakan saranan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah bagi pelaksanaan TEKAD untuk syarikat swasta bagi mewujudkan tempat kerja yang sihat, selamat dan bebas daripada ancaman dadah.

Turut hadir Pengurus Kanan HRDcorp, Puteri Simaa Megat Ismail.

Accessibility Toolbar