AADK, IMPAC kukuh kerjasama

Oleh: Amir Zahein

KAJANG, 28 Julai 2023 – Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Tuan Sutekno Ahmad Belon menerima kunjungan daripada Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) di Ibu Pejabat AADK pada Jumaat.

Tuan Sutekno turut memberi galakan dengan keterlibatan klien AADK untuk menyertai program-program yang bersesuaian mengikut minat atau kemahiran yang ada oleh klien-klien.

“Kita nak bagi satu peluang lain supaya mereka (klien) dapat comeback bila berhadapan dengan masyarakat supaya pandangan kepada mereka dapat diterima semua,” katanya.

IMPAC merupakan institusi induk di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yang berperanan untuk menerajui serta memantau kursus dan program latihan kemahiran pusat latihan agensi-agensi.

Agensi-agensi yang terlibat adalah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Lembaga Kenaf & Tembakau Negara (LKTN).

Kunjungan itu bertujuan memperkukuhkan lagi hubungan yang sedia terjalin serta memperhebat kerjasama antara agensi dengan IMPAC khususnya dalam usaha membantu minat klien meningkatkan tahap kemahiran yang diceburi melalui program-program yang ditawarkan.

Kunjungan itu telah diketuai oleh Ketua Eksekutif IMPAC, Puan Nazatul Niza Nordin bersama tiga delegasinya. Gambar AADK / Rashdan Zakaria

Antara program ditawarkan oleh IMPAC ialah dalam bidang sawit, getah, perkayuan, koko, kenaf dan lada.

Turut hadir Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan; Ketua Penolong Pengarah (Kerjaya dan Vokasional) AADK, Chong Siew Ngoh; Ketua Penolong Pengarah (Dasar dan Pembangunan Pemulihan) AADK, Bushro Ahmad.