AADK Daerah Kuantan giat galak golongan belia sertai Sukarelawan SKUAD Antidadah

Oleh: Mohd Hairul Anuar Mat Sabli

KUANTAN, 25 September 2022 – Seramai 60 sukarelawan SKUAD Antidadah Daerah Kuantan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuantan dan East Rock Sdn. Bhd menganjurkan Karnival SKUAD Antidadah di Pantai Kempadang, Kuantan pada Ahad.

Ketua AADK Daerah Kuantan, Mohamad Fahmi Mohamed Raimi berkata, program itu bertujuan mengeratkan silaturahim antara ahli SKUAD Antidadah yang baharu dan lama dan mewujudkan keyakinan dalam diri ahli SKUAD Antidadah dalam memainkan peranan dalam membantu pihak berkuasa.

Katanya, program itu juga dilihat berupaya membina semangat kesukarelawan dengan aktiviti gaya hidup aktif sekali gus menghindar daripada najis dadah.

Terdahulu, program bermula jam 10 pagi itu dirasmikan oleh Pengarah Urusan East Rock Sdn. Bhd., Jonathan Wong Kian Foong.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi SKUAD Antidadah Daerah Kuantan, Aziz Ku Li; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kempadang, Saaban Awang.

Dalam pada itu, Mohamad Fahmi berkata, karnival yang berlangsung meriah itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik dengan pengisian program pameran dan kempen antidadah seperti ‘walking message’, kempen pendidikan pencegahan dadah, aktiviti sukan rakyat, dan pertandingan mewarna antidadah bagi kanak-kanak.

Sebahagian ahli Skuad Antidadah yang turut serta dalam menjayakan karnival kali ini. – Gambar / Hairul Anuar Mat Sabli

Pada sesi itu juga, pendaftaran ahli SKUAD Antidadah turut diadakan dengan kad keahlian diserahkan secara terus kepada mereka yang hadir.

Justeru, AADK mengajak semua Keluarga Malaysia khususnya golongan belia untuk menyertai SKUAD Antidadah dan bersama-sama AADK dalam merealisasikan aspirasi negara ke arah Dadah Terkawal 2025.

Accessibility Toolbar