AADK Daerah Kuala Pilah sasar tingkat kadar kepulihan klien

Oleh: Fauzi Suhaimi

KUALA PILAH, 26 Julai 2022 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Pilah menyasarkan untuk meningkatkan kadar kepulihan klien menerusi pelaksanaan pelbagai aktiviti.

Pada masa sama, langkah proaktif untuk menurunkan nilai ambang kepada 400 berbanding 693 penyalah guna dan penagih dadah serta bahan-bahan bagi setiap 100,000 penduduk di daerah berkenaan.

Inisiatif tersebut dibentangkan oleh Ketua AADK Daerah Kuala Pilah, Rozita Muhamad Rusli pada sesi Lawatan Kerja Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon di pejabat AADK Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Selasa.

Dalam pada itu, Rozita turut menyampaikan taklimat berkaitan pengoperasian dan kaedah dilaksanakan untuk merawat pulih klien antaranya menerusi strategi Model i-Pulih AADK dan Model i-Prihatin AADK.

Selain meninjau gerak kerja dan operasi di sana, Tuan Sutekno juga memastikan fasiliti, aktiviti termasuk tugas para pegawai dilakukan dengan baik.

Di samping itu, beliau juga menyampaikan amanat, nasihat dan teguran kepada kakitangan agar melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan integriti.

Pada sesi turun padang berkenaan Tuan Sutekno sempat meluangkan masa menanam anak pokok bidara Arab di pekarangan pejabat AADK Daerah Kuala Pilah.

Turut hadir dalam sesi lawatan tersebut ialah Ketua Unit Urus Setia Penyelarasan Dasar Membanteras Gejala Dadah Negara, Mohd Nadmin Ramlan dan Pengarah AADK Negeri Sembilan, Dr. Hadijah Baba

Accessibility Toolbar