385 pegawai AADK menerima Sijil Perakuan Amalan PPA AADK

Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat

SUNGAI PETANI, 5 November 2023 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) hari ini mengadakan Majlis Pentauliahan Program Persijilan AADK (PPA) kali kedua di Pusat Latihan AADK, Sungai Petani, Kedah.

PPA adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh AADK bertujuan memberi pengiktirafan kepada pegawai-pegawai AADK yang mencapai kompetensi yang ditetapkan dan ditauliahkan sebagai Pengamal Bertauliah dalam tiga perkhidmatan teras AADK iaitu Rawatan dan Pemulihan, Pendidikan Pencegahan dan Penguatkuasaan.

Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, PPA mula diperkenalkan pada tahun 2021 untuk memberi pendedahan kepada  pegawai-pegawai AADK dengan pengetahuan, kemahiran komprehensif dan berasaskan pembuktian sebagai pelengkap kepada perkhidmatan yang wibawa serta professional.

“Bagi tahun ini, seramai 385 pegawai AADK menerima Sijil Perakuan Amalan PPA AADK untuk ketiga-tiga persijilan tersebut.

“Syabas dan tahniah kepada semua graduan yang berjaya dalam program-program ini.

“Semoga pentauliahan ini memberikan impak yang positif dalam menangani permasalahan dadah dalam negara dan merealisasikan Dadah Terkawal 2025 serta meningkatkan wibawa anda semua dalam menyampaikan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pentauliahan PPA di sini, pada Ahad.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Puan Shobah Jamil dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Agensi Antidadah Kebangsaan, Tuan Khairul Anwar Bachok.

Accessibility Toolbar