24 klien PUSPEN Karangan dipindah ke PUSPEN Seri Iskandar

Oleh : Nur Alisa Binti Alia’m

SERI ISKANDAR, 1 Disember 2022 – Seramai 24 klien dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karangan terlibat dengan pemindahan ke PUSPEN Seri Iskandar berikutan penutupan sementara PUSPEN Karangan bermula bulan ini.

Penutupan itu bagi memberi laluan kepada pembangunan semula PUSPEN Karangan termasuk pembinaan bangunan blok sekolah untuk kegunaan klien dalam kategori remaja di bawah Seksyen 6(1)(a) dan 8(3)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

Pemindahan klien itu dilaksanakan melibatkan 20 Pegawai Unit Keselamatan AADK Negeri Kedah dan PUSPEN Karangan dan dibantu oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Unit Peronda Lebuhraya Utara-Selatan.

Kesemua klien dipindahkan di bawah Seksyen 17 Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 bagi menjalani rawatan dan pemulihan penagihan dadah di PUSPEN Seri Iskandar.

Prosedur penerimaan klien di PUSPEN Seri Iskandar iaitu pendaftaran rekod, dokumentasi, pemeriksaan fizikal dan barangan serta ujian saringan awal air kencing berjalan dengan lancar.

Sementara itu, PUSPEN Seri Iskandar akan memastikan agar persediaan bagi 12 klien yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Februari hingga Mac tahun depan diberi perhatian khusus.

Ini termasuk penyediaan sesi pengajaran dan pembelajaran (PnP) dijalankan secara baik dan sistematik demi masa depan yang lebih baik.

Accessibility Toolbar