21 klien AADK lulus SPM

Oleh: UMKK

KAJANG, 9 Jun 2023 – Seramai 21 orang klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daripada 28 klien yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 berjaya lulus dalam mata pelajaran yang diambil.

Daripada jumlah itu, seramai 13 calon adalah dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Papar, Sabah manakala lapan calon lagi adalah dari PUSPEN Seri Iskandar, Perak.

Pencapaian 13 klien sempena SPM 2022. Gambar AADK

Menurut AADK, kesemua calon berkenaan sedang menjalani program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) di dua PUSPEN berkenaan.

โ€œWalau bagaimanapun, melihat peluang pendidikan kepada klien, AADK menyediakan modul khas iaitu Program Akses Pendidikan Klien (PAPK) khusus kepada mereka di bawah umur 18 tahun.

โ€œMenerusi program PAPK, mereka akan mengikuti jadual kelas yang sistematik dan diajar oleh guru yang dilantik menerusi Skim Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) yang mempunyai ijazah sarjana muda dan pengalaman dalam bidang Pendidikan serta bantuan tenaga pengajar daripada Pejabat Pendidikan Daerah,โ€ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan AADK lagi, program PAPK mula diperkenalkan pada tahun 2015 bagi membantu pelajar yang keciciran pelajaran ketika menjalani program RPDI di PUSPEN.

โ€œUsaha ini adalah untuk memberi peluang kepada klien bagi memajukan diri dalam aspek akademik dan kesemua calon didaftarkan sebagai calon persendirian dengan kadar bayaran yuran mengikut subjek teras yang diambil.

โ€œSebanyak enam mata pelajaran yang diambil mereka iaitu Bahasa Melayu; Bahasa Inggeris; Sains; Matematik; Sejarah dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral,โ€ jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, AADK berkata, kesemua klien yang lulus SPM 2022 berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi seperti di Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), GiatMara Malaysia dan politeknik.

Accessibility Toolbar