
KLANG – Hasil maklumat awam dan risikan anggotanya, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Klang telah mengesan beberapa lokasi penagihan disekitar Pandamaran dan Pelabuhan Klang.
Sehubungan dengan itu, Operasi Cegah Perangi Dadah Habis-habisan (PDH) 2.0 telah dilaksanakan selama dua hari bermula 31 Julai sehingga 1 Ogos 2017. Operasi tersebut dijalankan oleh 30 anggota AADK Klang dan Selangor termasuk pegawai Skuad Khas AADK dengan kerjasama Ibu Pejabat AADK.
128 individu yang disyaki penagih dadah berumur lingkungan 14 hingga 56 tahun ditahan dalam operasi tersebut. Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Klang untuk tindakan selanjutnya.
Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN) YB Dato’ Masir Kujat, Ketua Pengarah AADK Malaysia YBhg Dato’ Dr Abd Halim Mohd Hussin, Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan Tuan Zainuddin bin Abdullah dan Pengarah AADK Negeri Selangor Tuan Md Razif Bin Wan turut hadir memantau perjalanan operasi.