1.  Apakah itu AADK?
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) adalah sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Dalam Negeri yang menguruskan hal-hal berkaitan penyalahgunaan dadah di Malaysia. AADK merupakan agensi utama yang memainkan peranan dalam usaha kerajaan untuk mewujudkan negara Malaysia yang bebas daripada ancaman dadah menjelang tahun 2015.

2.  Bilakah AADK ditubuhkan?
Kronologi penubuhan AADK:
1983: Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 22 Jun 1983 telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Anti Dadah (JKAD) dan Pasukan Petugas Anti Dadah (PPAD) yang bertanggungjawab kepada Majlis Keselamatan Negara dalam semua aspek masalah dadah.
1995: Kementerian Dalam Negeri telah mencadangkan kepada YAB Perdana Menteri untuk menggabungkan semua agensi/unit yang bertanggungjawab menangani masalah dadah dalam satu agensi tunggal.
1996: Kerajaan telah menggabungkan Bahagian Rawatan dan Pemulihan Dadah, Kementerian Dalam Negeri dan Pasukan Petugas Anti Dadah, Jabatan Perdana Menteri menjadi satu agensi tunggal yang dinamakan Agensi Dadah Kebangsaan (ADK).
2004: Bersesuaian dengan perkembangan organisasi semasa Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) telah ditukar kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada 30 Disember 2004 dan diberi kuasa melalui Akta Agensi Antidadah Kebangsaan 2004.

3. Di manakah lokasi AADK?
Bermula 21 Februari 2011, Ibu Pejabat AADK telah beroperasi sepenuhnya bangunan yang baru yang terletak di Jalan Maktab Perguruan Islam, Kajang, Selangor Darul Ehsan. Bangunan milik kekal AADK ini mempunyai 2 blok bangunan iaitu merangkumi 6 tingkat di Blok A dan 3 tingkat di Blok B. Ia meliputi kawasan seluas 4.44 ekar dan terletak berhampiran dengan Bandar Baru Bangi, Pusat Pentadbiran Putrajaya dan Cyberjaya. Lokasi bangunan ini juga terletak berhampiran kawasan Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi dan juga Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).

4. Bagaimanakah cara untuk menjadi warga kerja Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)?
Sekiranya tuan/puan berminat untuk menyertai dan menjadi sebahagian daripada pegawai AADK, tuan/puan boleh membuat permohonan melalui laman web www.spa.gov.my kerana AADK adalah sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Dalam Negeri.

5. Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan risalah / brosur antidadah / statistik penagih dadah / maklumat dadah bagi tujuan pameran atau sebagai sumber rujukan?
Bagi permohonan untuk mendapatkan bahan atau maklumat tersebut, tuan/puan boleh berbuat demikian dengan menghantarkan surat permohonan rasmi daripada pihak sekolah/kolej/universiti/jabatan tuan/puan kepada AADK dan menyatakan tujuan bahan atau maklumat tersebut diperlukan. Permohonan tuan/puan boleh dihantar ke alamat seperti berikut:
Ketua Pengarah
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)
Kementerian Dalam Negeri
Jalan Maktab Perguruan Islam
43000, Kajang Selangor.

6. Adakah semua permasalahan berkaitan dengan dadah perlu dilaporkan kepada AADK?
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) adalah agensi utama yang menangani isu yang berkaitan dengan dadah. Namun begitu, bagi aduan berkaitan pengedaran dadah, perkara berkenaan perlu dilaporkan kepada pihak PDRM kerana isu terbabit adalah dibawah bidang kuasa dan tanggungjawab PDRM iaitu dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

7. Bagaimanakah cara untuk saya menghubungi Agensi Antidadah Kebangsaan?
Anda boleh menghubungi : 
Tel : 03 - 8911 2200 Fax: 03 - 8926 2055
Emel : webmaster@adk.gov.my