Sejarah AADK

Kronologi Usaha Membasmi Dadah di Malaysia

1952

Usaha awal Kerajaan menangani isu dan masalah dadah adalah melalui tindakan undang-undang dengan menguatkuasa Akta Dadah Berbahaya 1952 tetapi pelaksanaan undang-undang ini dilaksanakan oleh agensi-agensi Kerajaan secara berasingan.

1972

Biro Narkotik Pusat di bawah Kementerian Undang-undang telah diwujudkan untuk mengawal dan mengawasi masalah dadah dalam bidang penguatkuasaan, pencegahan, penyelarasan dan penyelidikan.

1975

Memandangkan gejala dadah yang semakin serius, maka pada tahun 1975 Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dadah (JKMD) yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri. Fungsi dan tanggungjawab JKMD adalah untuk menyemak dan menetapkan dasar mengenai penggunaan, pencegahan dan pembasmian dadah.

1978

Unit Bertindak Eksekutif (UBE) ditubuhkan pada tahun 1978 dan dipengerusikan oleh YB Timbalan Menteri Dalam Negeri. Fungsi dan tanggungjawab UBE adalah untuk menyelaras pelaksanaan segala keputusan dan perakuan berkaitan pengawalan dan pencegahan dadah yang dibuat oleh JKMD.

1983

Ekoran masalah dadah yang semakin meruncing sehingga menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara, maka pada 19 Februari, 1983 Kerajaan telah mengisytiharkan dadah sebagai Musuh Nombor 1 Negara.
 
Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) diwujudkan.
 
Pusat Serenti sebagai One Stop Centre  turut diwujudkan.

1983

Lanjutan dari perkembangan ini, Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 22 Jun, 1983 telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Anti Dadah (JKAD) dan Pasukan Petugas Anti Dadah (PPAD) untuk bertanggungjawab kepada Majlis Keselamatan Negara dalam semua aspek masalah dadah. Dengan itu, JKMD dan lain-lain jawatankuasa anti dadah yang ditubuhkan di peringkat persekutuan, negeri dan daerah telah dimansuhkan.

1995

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mencadangkan kepada YAB Perdana Menteri untuk menggabungkan semua agensi/unit yang bertanggungjawab menangani masalah dadah ke dalam satu agensi tunggal. Agensi-agensi yang terlibat ialah Bahagian Rawatan dan Pemulihan Dadah, KDN; PPAD, JPM; Unit Pencegahan Penyeludupan, JPM; Cawangan Anti Dadah, PDRM; Bahagian Farmasi, KKM; Unit Khas Dadah, Kementerian Pendidikan; dan Unit Narkotik, JKDM.

1996

Kerajaan telah bersetuju menubuhkan Majlis Dadah Kebangsaan (MDK) bagi menggantikan JKAD untuk mencegah dan mengawal masalah dadah di negara ini yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Menteri Dalam Negeri sebagai Timbalan Pengerusi. Kerajaan juga telah menggabungkan Bahagian Rawatan dan Pemulihan Dadah, KDN dan PPAD, JPM sebagai satu agensi tunggal yang dinamakan Agensi Dadah Kebangsaan (ADK). Fungsi dan tanggungjawab ADK adalah untuk memberi khidmat urusetia kepada MDK dan menjadi salah satu agensi pelaksana membanteras dadah di samping dua puluh (20) agensi Kerajaan yang lain.

Pada 11 Jun 1996, Dasar Dadah Negara diluluskan oleh Majlis Dadah Kebangsaan (MDK) merangkumi aktviti-aktiviti Pendidikan, Pencegahan dan Publisiti; Penguatkuasaan Undang-undang; Rawatan dan Pemulihan; dan Kerjasama Antarabangsa.

2004

Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 28 Januari, 2004 telah bersetuju menubuhkan JKMD sebagai badan tertinggi negara bagi menggantikan MDK. Di bawah JKMD, jentera-jentera pelengkap seperti berikut telah dibentuk, iaitu Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Kebangsaan; Jawatankuasa Penguatkuasaan Undang-undang (JPU); Jawatankuasa Rawatan dan Pemulihan (JRP); Jawatankuasa Pendidikan Pencegahan dan Publisiti (JPPP); MTMD Negeri; dan MTMD Daerah/Bahagian.
 
Rasional bagi penubuhan JKMD dan jentera penyelarasan pelaksanaan adalah berasaskan faktor-faktor berikut:
– Penglibatan bersepadu agensi-agensi Kerajaan, NGOs dan swasta serta sokongan padu masyarakat sivil;
– Cabaran merealisasi Malaysia Bebas Dadah menjelang tahun 2015; dan
– Kesanggupan dan komitmen politik negara.

2004

Pada 30 Disember 2004, bersesuaian dengan cabaran persekitaran dan keperluan jangka panjang, Kerajaan telah meluluskan Akta AADK 2004 dan juga meluluskan penubuhan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang diberi mandat dan fungsi utama di dalam aspek-aspek pencegahan, pengesanan, penangkapan, penguatkuasaan, penyiasatan dan pendakwaan ke atas pesalah-pesalah yang melibatkan kesalahan-kesalahan dadah serta rawatan dan pemulihan penagih dadah.
 
Akta AADK 2004 ini memberi kuasa kepada AADK untuk melakukan tahanan pencegahan khas bagi mereka yang mempunyai kaitan dengan apa-apa aktiviti berhubung dengan atau yang melibatkan pengedaran dadah. Di samping itu, AADK juga mempunyai kuasa di dalam pelucuthakan harta yang dikaitkan dengan apa-apa aktiviti berhubung dengan kesalahan-kesalahan dadah dan pengumpulan risikan keselamatan yang berhubung dengan aktiviti dadah.

2007

Bahagian Penguatkuasaan ditubuhkan

2009

Pusat Serenti diberi penjenamaan semula kepada PUSPEN (Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik)

2010

Transformasi Rawatan dan Pemulihan yang memfokus kepada memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia yang mempunyai permasalahan dadah mendapatkan perkhidmatan secara sukarela
– Pemulihan Dalam Institusi : Klinik Cure & Care  dan Cure & Care Rehabilation Centre (CCRC)
– Pemulihan Dalam Komuniti : Cure & Care Service Centre (CCSC) dan Caring Community House (CCH)
– Program Kerjaya dan Latihan Vokasional : Cure & Care Vocasional Centre (CCVC)
– Pencegahan : Pendidikan dan Kesedaran Awam (SHIELDS, TEKAD, SMART), Skuad AADK
– Pengesanan dan Pengawasan
 
Transformasi Bisnes Utama melalui ICT : Sistem Profiling Klien (MyAADK)

2017

Pada 10 Mac 2017, Jemaah Menteri meluluskan Dasar Dadah Negara 2017, digubal bertujuan menjamin kesejahteraan, kesihatan, harga diri dan keselamatan negara.

Dasar dadah ini menjadi kerangka kerja yang komprehensif dan selaras dengan usaha mencegah, merawat dan memulih, menguatkuasakan undang-undang, mengurangkan kemudaratan masalah penagihan dadah dan inisiatif kerjasama antarabangsa.

Dasar dadah ini juga menjadi rujukan dan panduan semua agensi penguatkuasaan dadah, agensi-egensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan yang akan membantu usaha-usaha kerajaan untuk mencapai matlamat mengurangkan penawaran dan pemintaan terhadap dadah di Malaysia.

Accessibility Toolbar