NILAI 3 Julai - Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah terbesar apabila berjaya merampas ketamin seberat 130 kilogram di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada petang Rabu lalu.
Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Abdul Rahman Abd. Hamid berkata, dadah itu dianggarkan bernilai RM5 juta hingga RM10 juta.
Menurutnya, kejayaan terbesar dalam sejarah kastam itu hasil maklumat yang diterima oleh sepasukan kastam Perak dan Putrajaya yang membuat pemeriksaan ke atas sebuah kontena di pelabuhan tersebut.
Beliau menambah, hasilnya dalam kontena itu ditemui 13 daripada 300 guni mengandungi 13 beg plastik dadah jenis ketamin dari India .
Susulan itu, jelasnya, dua lelaki berusia 20-an dan 30-an dari dua syarikat perkapalan yang bertindak sebagai pengurus perkapalan beralamat di Pelabuhan Klang dan Subang jaya ditahan untuk membantu siasatan.
''Kedua-duanya kini disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah 1952 dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.
''Kita yakin dadah itu diseludup berikutan permintaan pasaran gelap di kelab-kelab malam di Lembah Klang,'' katanya pada sidang akhbar di pejabat KDRM Cawangan Narkotik di sini hari ini.
Abdul Rahman memberitahu, dadah ketamin digunakan oleh doktor haiwan sebagai ubat bius namun ia telah disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan penagihan.
Katanya, siasatan awal mendapati alamat yang digunakan oleh penghantar kontena itu adalah palsu.
''Berdasarkan maklumat yang diterima dari kastam India , alamat yang digunakan untuk tujuan menghantar barang ini tidak wujud dan pihak kami masih lagi menyiasat mengenai kes ini,'' katanya.
Beliau berharap orang awam yang mempunyai sebarang maklumat agar menyalurkannya kepada kastam supaya siasatan secara menyeluruh dapat dijalankan bagi mengesan dalang sindiket tersebut.
Abdul Rahman berkata, sepanjang tahun lalu KDRM berjaya menumpaskan 13 kes dadah dan jumlah yang sama sudah dicatatkan untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini. Petikan
Petikan Utusan Malaysia 4/07/08 |